Op Selamat 17: Sejuta kenderaan masuk Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Op Selamat 17: Sejuta kenderaan masuk Negeri Sembilan

SHAFIEI Muhamad (kanan) memantau pergerakan aliran trafik di persimpangan lampu isyarat di Seremban Gateway, Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jumlah pergerakan kenderaan di Negeri Sembilan dijangka meningkat kira-kira tiga peratus sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina bermula minggu hadapan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Shafiei Muhamad berkata, jumlah tersebut dijangka melebihi satu juta kenderaan mengambil kira jumlah pada Op Selamat 16 Tahun Baharu Cina 2020.

“Jumlah tersebut bukan sahaja melibatkan orang ramai yang mahu pulang untuk menyambut Tahun Baharu Cina tetapi mereka yang mahu bercuti juga. Di Negeri Sembilan jumlah kenderaan tersebut banyak ke Port Dickson disebabkan ia juga menjadi tempat tumpuan pelancong.

“Apabila berlaku kesesakan lalu lintas di beberapa hotspot yang dikenal pasti dan itu menunjukkan berlaku pertambahan kenderaan. Kami menjangkakan kenderaan mula sesak dan padat sehari sebelum Tahun Baharu Cina,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar di Op Selamat 17/2022 Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2022 di sini hari ini.

Sementara itu, menurut Shafiei, sempena Op Selamat 17/2022 kali ini, pihaknya menumpukan kepada 19 lokasi yang dijangkakan berlaku kesesakan lalu lintas (hotspot) dan 16 berlaku banyak kemalangan (blackspot) di negeri ini.

“Bagi Op Selamat 17 bagi kontinjen Negeri Sembilan, ia akan melibatkan seramai 31 pegawai dan 184 anggota. Jumlah ini bagaimanapun akan bertambah dari semasa ke semasa termasuk jika berlaku peningkatan mendadak jumlah kenderaan.

“Kami akan menjalankan penguatkuasaan sepenuhnya di semua tempat terbabit terutama yang melibatkan enam kesalahan utama termasuk melanggar lampu isyarat, melanggar had laju, memotong barisan dan memandu di lorong kecemasan.

“Tumpuan akan diberikan kepada kesalahan-kesalahan itu kerana Op Selamat ini fokusnya adalah untuk mengurangkan kadar kemalangan maut selain melancarkan pergerakan kenderaan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.