Op Sapu gempur setinggan, 32 PATI ditahan - Utusan Malaysia

Op Sapu gempur setinggan, 32 PATI ditahan

ANGGOTA Imigresen menahan PATI dalam serbuan di kawasan setinggan di Kota Kinabalu baru-baru ini.-IHSAN IMIGRESEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Seramai 32 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tinggal di negara ini tanpa dokumen pengenalan diri yang sah ditahan dalam Op Patuh Bersepadu (Sapu) di dua lokasi berasingan pada Rabu.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata, dalam dua serbuan yang diadakan kira-kira pukul 10.55 malam di penempatan setinggan di Tanjung Dumpil dan Pulau Meruntum, Putatan mendapati 32 daripada 124 orang penduduk yang diperiksa gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri atau pasport yang sah.

Justeru, kesemua 32 PATI berusia antara tujuh bulan hingga 54 tahun itu ditahan untuk tindakan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pasport atau pas yang sah.

Beliau berkata, kejayaan operasi ini adalah hasil aduan orang awam yang diterima oleh Bahagian Penguatkuasa Pejabat Imigresen daerah.

Menurutnya, Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang bersekongkol dengan PATI.

“Saya mengingatkan orang ramai supaya tidak cuba melindungi PATI di Sabah dan laporkan dengan segera sekiranya terdapat aktiviti PATI di kawasan mereka.

“Saya juga memberi amaran keras kepada pemilik-pemilik premis agar tidak menyewakan atau membenarkan PATI untuk tinggal di premis mereka,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jelas beliau, kerja-kerja tapisan kesihatan yang ketat termasuk ujian saringan Covid-19 terhadap setiap tahanan turut dilakukan bagi memastikan tiada penularan jangkitan Covid-19 sebelum tahanan dihantar ke depot imigresen.

Op Sapu itu membabitkan 52 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Sabah yang diketuai oleh Timbalan Penolong Pengarah Kanan, Hasanal Awang Hashim dan 19 pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin.

Tambah beliau, objektif utama operasi itu adalah untuk membanteras kehadiran dan penempatan haram pendatang asing tanpa izin (PATI) dan mana-mana orang yang melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya