PETALING JAYA: Tindakan kumpulan sindiket menggunakan bayi yang sedang sakit meraih masyarakat di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) bagi mengutip derma membuat warganet tidak senang hati.
Melalui sekeping gambar disiarkan di laman Facebook, oleh Pos Cod memaparkan seorang bayi yang dipercayai menghidap penyakit hydrocephalus penyakit lebihan cecair dalam otak ditemani satu kanak-kanak lain dan seorang lelaki dewasa di jejantas TBS.
Jelasnya, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap sindiket yang menggunakan individu sedang sakit khususnya kanak-kanak bagi mendapatkan kepentingan peribadi hingga sanggup membahayakan nyawa individu lain.
“Ia bukan sahaja melibatkan nyawa seorang bayi yang sakit, bahkan ia mendatangkan imej tak baik kepada negara. Punyalah ramai pelancong asing di TBS tu. Apakah yang mereka fikir saat melihat situasi seperti dalam gambar yang aku kongsi ini.
“Aku nak sangat mereka yang gunakan budak-budak macam ni untuk kutip derma dibawa ke muka pengadilan. Namun jika benar keluarga budak ini orang susah yang perlukan duit untuk rawatan anak beliau, kita wajib bantu,” tulisnya di ruangan keterangan Facebook.
Rata-rata netizen turut bersetuju supaya ada tindakan diambil oleh pihak penguasa bagi membanteras kegiatan-kegiatan sindiket yang sudah lama bertapak di dalam negara.
“Betul, sudah lama perasan mereka bawa bayi tu dekat jejantas pintu masuk TBS. Harap pihak tertentu dapat mengambil tindakan yang sewajarnya, kesian dekat bayi tu,” komen Roslie Ahmad.
“Patutnya jika pihak tertentu ambil serius hal ni, pasti tidak berulang-ulang. Orang tua, orang kurang upaya (OKU), semua meminta sedekah hari-hari. Jadikan pekerjaan,” komen Ezan Dean.
“Mohon kerajaan arahkan pihak-pihak yang berkenaan tengok isu ini dengan serius. Nampaknya jabatan kebajikan masyarakat (JKM) perlu diberi kuasa lebih untuk ambil budak yang teraniaya tanpa nak tunggu laporan dari orang awam bagai. Mata-mata JKM kena aktif dan proaktif meronda dan menyiasat,” komen Nur Alamanda.










