KUALA LUMPUR: “Kalau saya mengawal kesemuanya, lebih baik gunakan (duit 1MDB) untuk bayar hutang.”
Kenyataan itu diberikan oleh saksi pendakwaan ke-12, bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Azmi Tahir apabila diasak oleh peguam bela bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kawalannya dalam urusan kewangan syarikat berkenaan.
Menurut Azmi, walaupun memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Kewangan, beliau tidak mengawal setiap sen wang kerana tidak terlibat dengan kesemua transaksi yang berlaku di 1MDB.
Tambahnya, segala tindakan yang dilakukan berkaitan transaksi pemindahan wang adalah atas arahan yang diberikan kepadanya oleh Jho Low atau nama sebenarnya, Low Taek Jho.
Azmi berkata demikian sewaktu menyambung sesi soal balasnya hari ini dalam perbicaraan kes Najib, 68, yang didakwa atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah hampir RM2.3 bilion di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Terdahulu, Azmi dan peguam terbabit, Hariharan Tara Singh ‘bertikam lidah’ apabila saksi berkenaan ditanya mengenai kerisauan yang ditimbulkan mengenai sesuatu keputusan yang dibuat oleh syarikat berkenaan.
Hariharan: Awak kata awak risau tentang beberapa keputusan yang dibuat oleh syarikat tetapi kerisauan awak itu tidak ada dinyatakan dalam minit mesyuarat lembaga pengarah.
Azmi: Saya tidak terlibat dalam penyediaan minit mesyuarat.
Hariharan: Tetapi awak kata awak ada kerisauan dan ada berbincang mengenainya. Tetapi tiada dalam minit.
Azmi: Saya bukan sebahagian daripada mereka yang menyediakan minit mesyuarat, saya mungkin telah bangkitkan perkara berkenaan dan ia mungkin tidak dinyatakan dalam minit tersebut. Adakah awak nak salahkan saya kerana ia tidak tercatat dalam minit?
Hariharan: Awak tidak perlu jadi ‘defensive’. Awak cuma perlu jawab sahaja.
Pada awal prosiding, Azmi mengesahkan bahawa tiada sebarang tindakan undang-undang dikenakan terhadapnya sejak skandal penyelewengan 1MDB didedahkan sehingga sekarang.
Azmi, 49, bagaimanapun menafikan ‘kelebihan’ tersebut adalah sebagai timbal balik agar beliau memberikan keterangan yang tidak berpihak kepada Najib.
“Semasa saya memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), soalan yang ditanya lebih kepada transaksi pemindahan wang, perkara-perkara yang berlaku dalam 1MDB. Tiada soalan yang saya rasakan menjuruskan kepada seseorang,”katanya ketika disoal balas oleh peguam bela, Hariharan Tara Singh.
Selain itu, ketika ditunjukkan senarai saksi yang telah dan akan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan tersebut, Azmi mengesahkan terdapat beberapa nama termasuk dirinya yang telah disaman oleh 1MDB dan beberapa anak syarikatnya.
Bagaimanapun, tanpa menyatakan secara spesifik dan berdasarkan pengetahuannya, Azmi menyatakan nama beberapa orang saksi termasuk dirinya telah digugurkan daripada saman tersebut serta turut mengesahkan bahawa dirinya tidak pernah menerima surat tuntutan saman tersebut dan hanya mengetahui mengenai saman itu melalui media.
Pada 10 Mei 2021, Kementerian Kewangan mengesahkan 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International Sdn. Bhd. telah memfailkan sejumlah 22 saman sivil bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih RM96.6 bilion, termasuk kira-kira RM300 juta daripada pelbagai pihak tempatan.
Saman itu difailkan 1MDB atas pelbagai dakwaan antaranya pelanggaran tanggungjawab fidusiari dan konspirasi.
Pada 16 Ogos 2021, 1MDB bagaimanapun menarik balik saman terhadap tujuh individu iaitu Che Lodin, Ismee, Ashvin Tan Sri Ong Gim HUat (bekas Pengerusi 1MDB), bekas Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd. Hazem Abdul Rahman serta bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Azmi Tahir.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.