KUALA NERUS: Usaha memperkasa pembangunan luar bandar menunjukkan hasil positif apabila 42 inisiatif berjaya dilaksanakan sepenuhnya, sekali gus membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan agenda pembangunan negara dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kejayaan tersebut mencerminkan keupayaan kerajaan merangka dan melaksanakan dasar pembangunan yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pencapaian itu turut diterjemahkan melalui pelaburan besar dalam sektor prasarana luar bandar dengan peruntukan sebanyak RM4.15 bilion disalurkan bagi melaksanakan 1,569 projek fizikal di seluruh negara.
“Projek-projek berkenaan merangkumi pembinaan dan naik taraf jalan raya, sistem bekalan air, bekalan elektrik serta penyediaan kemudahan asas lain yang menjadi tunjang kepada peningkatan kualiti hidup masyarakat desa.
“Usaha memperkukuh aspek perumahan luar bandar turut diberikan keutamaan apabila hampir 10,000 unit Rumah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) dibina, sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada lebih 40,000 penduduk luar bandar,” katanya selepas pelancaran Permukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Permukiman Syarikat Milikan Agensi KKDW Tahun 2026 di Kuala Nerus,di sini, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, langkah berkenaan bukan sahaja meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan kediaman penduduk desa, malah memperkukuh akses kepada kemudahan asas serta membuka peluang ekonomi baharu di kawasan luar bandar.
Secara keseluruhan, katanya, pencapaian ini membuktikan bahawa strategi pembangunan yang dirangka menerusi inisiatif berkenaan memberi impak ketara dan berupaya merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Sementara itu, beliau berkata, sejumlah RM284 juta diperuntukkan untuk Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa banjir tahun lalu.
“Sehingga kini, 97 peratus berjaya diselesaikan manakala tiga peratus menunggu dokumen lengkap di selesaikan Jawatankuasa Bencana Daerah. Saya jangka ia akan selesai dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN










