JOHOR BAHRU: Kehidupan seorang peniaga kini berputar 360 darjah apabila hanya mampu mengenang nasib diri setelah hilang punca pendapatan akibat kudung kaki kiri yang terpaksa dipotong kerana jangkitan kuman, Jun lalu.
Muniandy, 56, berkata, dia tidak menyangka kehidupannya boleh berubah sekelip mata dan kini bergelar orang kurang upaya (OKU), malah nasibnya ibarat sudah jatuh ditimpa tangga kerana turut menghidap angin ahmar sejak Disember lalu.
Menurutnya, selepas kaki kirinya dipotong, keadaan itu mengakibatkan tubuhnya bertambah lemah kerana dia juga perlu menjalani rawatan dialisis buah pinggang sejak 12 tahun lalu.
“Kehidupan saya berubah kerana diserang strok pada pertengahan Disember lalu hingga bergantung sepenuhnya kepada bantuan isteri untuk bergerak. Ujian ini amat berat dan ditambah pula keluarga kami hilang punca pendapatan sejak Jun lalu.
“Sebelum ini saya membantu rakan berniaga secara sambilan dan menerima sejumlah upah namun buat masa ini kami sekeluarga hanya bergantung kepada elaun Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) sebanyak RM500 sebulan,” katanya ketika ditemui di Jalan Rotan Tanah, Taman Ria, Plentong, Masai, semalam.
Melihat keadaannya yang terbatas pergerakan, Muniandy mengakui merindui kehidupannya dahulu ketika masih aktif melakukan tugas rondaan jenayah serta membantu masyarakat.
Katanya, dia yang menjalankan tugas sebagai ahli Persatuan Keselamatan Komuniti Plentong sepenuh masa tidak pernah jemu bagi membantu masyarakat memerlukan tanpa mengira masa.
“Saya aktif dalam program kemasyarakatan sejak hampir 10 tahun lalu termasuk melakukan rondaan cegah jenayah serta membantu masyarakat, namun kini saya tidak berdaya lagi,” katanya.
Tambah Muniandy, dia juga mengalami tekanan emosi kerana tidak mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga bagi menyara isteri, K. Devi, 47, dan anak tunggal perempuan berusia 14 tahun.
Menurutnya, isterinya mengurus segala keperluannya termasuk perjalanannya ke pusat dialisis di Taman Johor Jaya tiga kali seminggu, rawatan fisioterapi di Hospital Sultan Ismail (HSI) dua kali seminggu serta latihan pengendalian kaki palsu di Taman Ungku Tun Aminah seminggu sekali.
Bagi rawatan susulan itu, katanya, keluarganya memerlukan RM100 hingga RM150 seminggu bagi menampung kos perjalanan.
“Ia menjadi cabaran utama kami kerana kami tiada wang simpanan hingga terpaksa menggadai kesemua barang kemas milik isteri. Kadang-kala bekalan makanan juga terputus hingga kami terpaksa makan apa yang ada saja. Saya terpaksa tangguh hasrat membeli kaki palsu kerana tiada sumber kewangan,” katanya.
Terdahulu, kesengsaraan mereka mendapat perhatian Pasaraya Econsave yang tampil menghulurkan bantuan, namun orang ramai yang simpati dengan nasib keluarga itu boleh menyalurkan sumbangan kepada Muniandy menerusi akaun Maybank miliknya, 01290094955.- UTUSAN ONLINE










