PADAWAN: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) membelanjakan kira-kira RM 125,000 tahun lalu (2021) hanya untuk membersihkan sampah-sarap yang dibuang secara haram di kawasan dalam bidang kuasanya.
Sehubungan itu, MPP merayu kerjasama orang ramai untuk menghentikan perbuatan membuang sampah di kawasan-kawasan yang dilarang seperti di tepi jalan, lorong-lorong, laluan awam serta kawasan persendirian, yang tidak sedap dipandang.
Lambakan sampah-sarap yang dibuang secara haram itu merupakan pelupusan sisa atau bahan yang tidak diingini termasuk sisa domestik, sisa bahan binaan, bahan buangan taman, perabot dan peralatan rumah yang sudah rosak.
“Biasanya lambakan secara haram ini dilakukan untuk mengelak daripada membayar yuran pelupusan di tapak pelupusan yang ditetapkan atau kegagalan untuk meluangkan masa dan usaha untuk melupuskan barangan dengan betul.
“Kawasan yang biasanya dijadikan tempat pembuangan sampah secara haram ini termasuk di kawasan tanah kosong, lorong, tempat pembuangan sampah komersial dan di sepanjang tepi jalan,” kata MPP dalam kenyataan medianya hari ini.
Menurut MPP, lambakan sampah secara haram ini boleh menyebabkan penurunan nilai harta, bahaya kesihatan dan pencemaran air kerana sampah atau sisa buangan akan memasuki sistem saliran air, sekali gus menyebabkan banjir, longkang tersumbat dan kerosakan kepada hidupan air, hidupan liar dan tumbuhan.
Kawasan dalam bidang kuasa MPP yang sering dijadikan tempat pembuangan sampah secara haram termasuk di Jalan Kangkok, Batu Kawa, kawasan Kuching City Mall, Jalan Arang 15C1, Jalan Ensing Timur, Batu Kawa dan Jalan Khung Phin Ulu
Menurut MPP, lambakan sampah secara haram itu adalah satu kesalahan di bawah Undang-undang Kecil 18(3), Undang-undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan (Kebersihan) 1999.
Sesiapa yang didapati bersalah membuang sampah atau sisa secara haram boleh didenda RM1,000 untuk kesalahan pertama dan RM2,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya bagi kesalahan kedua atau seterusnya.
Sementara itu, dalam masa genting Covid-19 sekarang, MPP mengingatkan orang ramai untuk membuang semua bahan buangan, terutamanya pelitup muka terpakai secara berhemah dengan memastikan sisa mereka dibungkus di dalam beg plastik berikat atau bertutup sebelum meletakkan beg sampah ke dalam tong sampah mereka.- -UTUSAN ONLINE










