KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan enam kali amaran cuaca signifikan yang boleh mengakibatkan hujan lebat berterusan pada Disember lalu.
Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, amaran cuaca itu tidak diendahkan sesetengah pihak yang terlibat secara langsung dalam pengurusan bencana.
“Ini kerana andaiannya hanya negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang terjejas akibat banjir dibawa hujan lebat berterusan ekoran luruan monsun.
“Persediaan bagi menghadapi musim tengkujuh juga lebih banyak tertumpu kepada negeri-negeri di Pantai Timur dan banjir luar biasa di Selangor yang berlaku ini adalah di luar jangkaan banyak pihak,” katanya dalam Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.
Jelasnya, angin monsun timur laut yang sepatutnya bertiup ke Laut Andaman telah melalui Selat Melaka ekoran sistem tekanan rendah di perairan tersebut.
“Keadaan ini telah mencetuskan hujan lebat yang luar biasa terutamanya di negeri Selangor.
“Banjir di negeri Selangor yang bermula pada hari 18 Disember 2021 telah berlaku akibat daripada jumlah purata taburan hujan luar biasa iaitu 380 milimeter pada hari tersebut yang menyamai jumlah purata taburan hujan bagi tempoh sebulan. Pada masa yang sama, kejadian air pasang telah menyebabkan banjir ini bertambah lebih buruk,” katanya.
Berikutan itu, Ismail Sabri berkata, situasi kelam kabut yang berlaku pada hari pertama pengurusan banjir di Selangor telah mengakibatkan pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk menjalankan operasi.
“Ini kerana berlakunya kompleksiti banjir bandar (urban flooding). Malah pengurusan banjir di Selangor masih tidak menunjukkan perubahan yang ketara pada hari kedua dan ketiga sehingga menyebabkan ketidakpuasan hati mangsa-mangsa berikutan kelewatan operasi menyelamat dan penghantaran bantuan,” katanya .- UTUSAN ONLINE