COPENHAGEN: Satu daripada tiga doktor dan jururawat di Eropah dilaporkan mengalami kemurungan atau kebimbangan.
Menurut laporan terbaharu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Eropah, kadar itu lima kali lebih tinggi daripada populasi umum di rantau tersebut.
“Krisis kesihatan mental dalam kalangan petugas kesihatan adalah krisis keselamatan kesihatan yang mengancam integriti sistem kesihatan kita.
Lebih satu dalam 10 mereka terfikir untuk mengakhiri hidup atau mencederakan diri sendiri. Ini adalah beban yang tidak boleh diterima oleh mereka yang menjaga kita,” kata Pengarah WHO Eropah, Hans Kluge, dalam satu kenyataan, kelmarin.
Laporan itu mendedahkan, doktor dan jururawat yang sering berdepan keganasan, bekerja secara konsisten selama berjam-jam dan mengikut syif terutama pada waktu malam, lebih berisiko mengalami kemurungan, kebimbangan atau terfikir untuk membunuh diri.
Selain itu, jururawat dan doktor wanita dilaporkan lebih mudah mengalami kemurungan serta kebimbangan, manakala doktor lelaki cenderung menghadapi masalah ketagihan alkohol.
Petugas kesihatan di Latvia dan Poland mencatatkan kadar kemurungan tertinggi dengan hampir separuh responden terjejas, manakala Denmark serta Iceland melaporkan kadar terendah sekitar 15 peratus.
Kajian itu berdasarkan 90,000 maklum balas daripada petugas kesihatan di 27 negara Kesatuan Eropah (EU) serta Iceland dan Norway.
Ia turut mendedahkan satu pertiga daripada doktor dan jururawat pernah mengalami buli atau ancaman keganasan di tempat kerja dalam tempoh setahun lalu.
Sebanyak 10 peratus pula mengalami keganasan fizikal atau gangguan seksual, manakala satu daripada empat doktor bekerja lebih daripada 50 jam seminggu.- AFP











