GAZA: Hamas akan mula membebaskan tebusan Israel yang ditahan di Gaza pada Isnin pagi sebelum Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mempengerusikan sidang kemuncak antarabangsa di Mesir bagi membincangkan rancangan keamanannya untuk rantau Asia Barat.
Dalam fasa pertama perjanjian tersebut, Hamas akan membebaskan 20 tebusan yang disahkan masih hidup oleh Israel, sebagai pertukaran dengan hampir 2,000 banduan Palestin.
“Menurut perjanjian yang ditandatangani, pertukaran banduan dijadualkan bermula pagi Isnin seperti yang dipersetujui,” kata pegawai Hamas Osama Hamdan dalam wawancara dengan AFP pada Sabtu.
Trump dan Presiden, Mesir Abdel Fattah al-Sisi dijadual mempengerusikan sidang kemuncak yang dihadiri lebih 20 negara di pusat peranginan Laut Merah, Sharm el-Sheikh, pada petang Isnin, menurut kenyataan pejabat presiden Mesir.
Mesyuarat itu bertujuan untuk menamatkan perang di Semenanjung Gaza, memperkukuh usaha mencapai keamanan dan kestabilan di Asia Barat, serta membuka era baharu keselamatan serantau, menurut kenyataan itu.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, mengesahkan kehadirannya, bersama Perdana Menteri Britain, Keir Starmer; Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni; Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez, dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron.
Tiada pengesahan segera sama ada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu akan hadir, sementara anggota Biro Politik Hamas, Hossam Badran berkata, kumpulan itu ia tidak akan mengambil bahagian secara langsung, kerana telah bertindak melalui perantara Qatar dan Mesir dalam rundingan terdahulu.
Walaupun perjanjian itu dianggap satu kejayaan diplomatik, para perantara masih berdepan cabaran besar bagi mencapai penyelesaian politik jangka panjang, termasuk menuntut Hamas melucutkan senjata dan berundur daripada pentadbiran Gaza.
Badran mengakui fasa kedua pelan Trump mengandungi banyak kerumitan dan kesukaran, manakala seorang lagi pegawai Hamas yang enggan dikenali berkata, perlucutan senjata tidak mungkin berlaku.
Menurut pelan Trump, ketika Israel melaksanakan pengunduran berperingkat dari bandar-bandar Gaza, kawalan keselamatan akan digantikan dengan pasukan pelbagai negara melibatkan Mesir, Qatar, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di bawah pusat arahan diketuai AS di Israel.
Pada Sabtu, Ketua Komando Pusat AS (CENTCOM), Laksamana Brad Cooper bersama utusan khas Trump ke Asia Barat, Steve Witkoff, serta menantunya Jared Kushner, mengunjungi Gaza, di mana ratusan ribu penduduk Palestin kembali ke rumah mereka yang musnah.
Selepas itu, Witkoff, Kushner dan Ivanka Trump menghadiri perhimpunan di Tel Aviv bersama keluarga tebusan Israel yang masih ditahan di Gaza, di mana orang ramai melaungkan ‘Terima kasih, Trump’.
“Kami akan terus bersuara dan berjuang sehingga semua pulang ke rumah,” kata ibu kepada salah seorang tebusan, Einav Zangauker.
Hamas mempunyai tempoh sehingga tengah hari Isnin untuk menyerahkan 47 tebusan terakhir sama ada masih hidup atau telah meninggal dunia daripada 251 yang diculik dalam serangan dua tahun lalu, yang menyebabkan 1,219 orang terbunuh, kebanyakannya orang awam.
Mayat seorang lagi tebusan yang ditahan sejak 2014 turut dijangka dipulangkan.
Sebagai pertukaran, Israel akan membebaskan 250 banduan, termasuk mereka yang menjalani hukuman penjara seumur hidup atas serangan ke atas rakyat Israel, serta 1,700 tahanan dari Gaza yang ditahan sejak perang bermula.
Perkhidmatan Penjara Israel pada Sabtu mengesahkan 250 tahanan keselamatan negara telah dipindahkan ke dua penjara sebagai persediaan bagi proses pembebasan.
Menurut Agensi Pertahanan Awam Gaza, lebih 500,000 penduduk Palestin telah kembali ke Gaza City menjelang malam Sabtu.
“Kami berjalan berjam-jam, setiap langkah penuh ketakutan. Apabila saya sampai di kejiranan Al-Rimal, rumah saya sudah tiada. Saya berdiri di hadapannya dan menangis — semua kenangan kini hanya tinggal debu,” kata seorang penduduk, Raja Salmi, 52.
Rakaman dron AFP menunjukkan seluruh blok bangunan runtuh menjadi timbunan konkrit dan besi bengkok, manakala penduduk yang pulang menggali serpihan mencari barang peribadi.
Menurut Pejabat Kemanusiaan PBB (OCHA), Israel membenarkan penghantaran 170,000 tan bantuan kemanusiaan ke Gaza sekiranya gencatan senjata terus dipatuhi.-AFP










