BAITULMUQADDIS: Pihak berkuasa Israel memindahkan banduan Palestin ke dua fasiliti tahanan menjelang pembebasan mereka di bawah perjanjian gencatan senjata Gaza, lapor media tempatan.
Menurut penyiar awam Israel, KAN, banduan yang dijadualkan untuk dibebaskan ke Gaza atau dihantar pulang melalui lintasan Rafah sudah dipindahkan ke Penjara Ketziot di wilayah Negev, selatan Israel.
Mereka yang dijangka dibebaskan dari Tebing Barat pula telah dibawa ke Penjara Ofer yang terletak di sebelah barat Ramallah.
Perkhidmatan Penjara Israel mengesahkan proses pemindahan banduan Palestin ke fasiliti-fasiliti berkenaan selesai dilakukan semalam.
Akhbar harian Yedioth Ahronoth memetik kenyataan daripada perkhidmatan penjara melaporkan, ribuan pegawai penjara terlibat dalam operasi tersebut di mana para banduan dipindahkan dalam puluhan konvoi dengan kawalan keselamatan yang ketat.
Media tempatan melaporkan, pembebasan dijangka bermula Isnin, sebaik sahaja Israel mendapatkan semula tebusan yang masih ditahan oleh Hamas.
Di bawah perjanjian tersebut, 2,000 banduan Palestin, termasuk 250 yang menjalani hukuman penjara seumur hidup dan 1,700 yang ditahan sejak perang Gaza bermula pada Oktober 2023 akan dibebaskan sebagai pertukaran bagi 48 tebusan Israel.
Kementerian Kehakiman Israel pada Jumaat menerbitkan senarai nama 250 banduan yang menjalani hukuman penjara seumur hidup yang terlibat dalam pertukaran tersebut.
Namun, Pejabat Media Banduan Palestin yang bernaung dengan Hamas menafikan terdapat kata sepakat dicapai berhubung senarai banduan yang akan dibebaskan.
Pihak Tel Aviv menganggarkan 48 rakyat Israel masih ditahan di Gaza, termasuk 20 yang masih hidup, manakala lebih 11,100 rakyat Palestin kini berada di penjara Israel.
Ramai antara mereka dilaporkan mengalami penyeksaan, kebuluran dan pengabaian perubatan yang telah menyebabkan kematian, menurut laporan media serta pertubuhan hak asasi manusia Israel dan Palestin.
Fasa pertama perjanjian gencatan senjata Gaza mula berkuat kuasa pada tengah hari Jumaat.
Pasukan tentera Israel melakukan pengunduran berperingkat ke garisan kuning pada sebelah petang, sekali gus memulakan tempoh 72 jam bagi proses pertukaran tersebut.
Menurut laporan, fasa kedua pelan itu akan melibatkan pembentukan mekanisme pentadbiran baharu di Gaza tanpa kehadiran Hamas, diikuti dengan penubuhan pasukan keselamatan bersama yang terdiri daripada rakyat Palestin dan anggota tentera negara Arab serta Islam, selain usaha untuk melucutkan senjata kumpulan pejuang itu.










