Menteri perlu jumpa kami 'hati ke hati' - Pengendali umrah

Menteri perlu jumpa kami – Pengendali umrah

SYED FUAD SYED OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan diminta supaya mengadakan pertemuan ‘hati ke hati’ bersama pengendali dan bakal jemaah umrah susulan keputusan kerajaan menangguhkan perjalanan umrah ke Arab Saudi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Daulah Travel & Tours Sdn. Bhd., Syed Fuad Syed Othman berkata, pertemuan itu bukan sahaja dapat menjernihkan keadaan, tetapi juga dapat mencari jalan penyelesaian terhadap isu penangguhan yang dihadapi pengendali umrah.

Katanya, pertemuan itu juga dapat membantu pengendali umrah merangka perancangan lebih jelas untuk bakal jemaah umrah.

“Kita akur dengan keputusan penangguhan ini tapi kerajaan perlu cari mekanisme baharu. Kita bagi kerjasama sama ada perlu kuarantin selepas pulang daripada Arab Saudi. Kalau tidak, situasi kita ini sama seperti sewaktu fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu. Adakah kita perlu berhentikan pekerja semula?

“Jadi, menteri perlu duduk bersama kami, barulah kita boleh buat kata putus. Kita tiada masalah dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat, tetapi kita tidak mahu agama Islam jadi punching bag, sebelum ini tabligh sekarang ini jemaah umrah pula,” katanya.

Beliau mengulas mengenai kesan kepada keputusan kerajaan menangguhkan perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Januari ini, selepas mengesan kes Covid-19 varian Omicron dalam kalangan jemaah.

MOHD. AZRI ABD. RAZAK

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Al Hijjrah Vacation Sdn. Bhd., Mohd. Azri Abd. Razak meminta kerajaan supaya mendapatkan maklum balas daripada semua pengendali umrah, bukan daripada sebuah persatuan sahaja sedangkan Persatuan Ejen-Ejen pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) tidak dipanggil.

“Sepatutnya kerajaan harus berunding dengan MATTA dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) selaku persatuan yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan sebelum membuat keputusan yang drastik, sebab penangguhan akan menyebabkan implikasi yang amat besar kepada pengendali umrah dan jemaah.

“Mengenai penangguhan ini, kerajaan ada berunding tetapi dengan persatuan yang bukan pemain industri umrah pun. Jadi, kita harap kerajaan berundinglah dengan MATTA yang mewakili kita,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga meminta kerajaan supaya bertindak adil terhadap jemaah umrah dengan menangguhkan juga destinasi yang lain yang mempunyai risiko varian Covid-19 Omicron, bukan hanya perjalanan umrah sahaja.

“Kita bukan nak membangkang sahaja, kita faham dengan bahaya Covid-19 dan penangguhan ini demi keselamatan rakyat, tetapi be fair kepada jemaah umrah, tangguhkan juga destinasi di tempat-tempat lain seperti negara Eropah amnya dan lain-lain negara berisiko.

“Jemaah yang kena berapa peratus sahaja, itu pun dikesan pada hari kelima,” katanya.

Bagaimanapun, beliau bersedia jika kerajaan mengetatkan lagi SOP kepada jemaah umrah seperti mewajibkan dos penggalak, ujian saringan dan kuarantin.

“Kerajaan harus melihat kesembuhan dari kalangan jemaah sebenarnya amat cepat, kebanyakan adalah gejala ringan sahaja dan ini juga diakui oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sendiri.

“Tetapi kita berharap penangguhan harus diberikan panduan dan tarikh untuk dibuka semula dan sepatutnya kerajaan memberi notis kepada pemain industri sekurang-kurangnya sebulan untuk membuat sebarang keputusan kerana ianya memberi kesan kepada rakyat sendiri malah dari segi ekonomi negara sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN