MACHANG: Kubur pelajar perempuan, Zara Qairina Mahathir, 13, akan digali semula dalam masa terdekat bagi membolehkan prosedur bedah siasat dilakukan demi melengkapkan siasatan kes kematiannya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu diambil selepas Jabatan Peguam Negara mengesahkan keperluan bagi proses ekskavasi semula dilakukan, hasil penelitian terhadap laporan penuh siasatan awal yang dikemukakan polis.
“Seperti saya sebut minggu lalu, polis sudah menghantar kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara. Beberapa hari kemudian, kenyataan rasmi dikeluarkan bahawa ada keperluan mayat digali semula.
“Pagi tadi, saya menerima taklimat daripada Ketua Polis Negara bahawa polis akan segera mendapatkan kebenaran majistret dan bekerjasama dengan pakar forensik untuk melaksanakan proses ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Ijtimak Madani Ulama dan Guru Pondok Kelantan 2025 di UiTM Machang yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Saifuddin memberitabu, tindakan itu penting untuk mengemaskini siasatan, mengumpul semua bukti dan memastikan prinsip keadilan tidak diketepikan.
“Keutamaan kita adalah memastikan keadilan untuk Zara Qairina, keluarganya, serta semua pihak yang terlibat termasuk guru dan rakan-rakan mangsa,” ujarnya.
Saifuddin Nasution berkata, polis memberi jaminan proses ini akan dilakukan dengan segera dan setiap perkembangan akan dimaklumkan kepada orang ramai dari semasa ke semasa.
Media sebelum ini melaporkan Jabatan Peguam Negara mengesahkan keperluan untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berusia 13 tahun itu.
Jabatan itu dalam satu kenyataan berkata, keputusan tersebut dibuat selepas penelitian dilakukan terhadap laporan penuh siasatan awal yang dikemukakan oleh polis berhubung kes kematian remaja terbabit.-UTUSAN










