Beri kepercayaan pihak berkuasa siasat kematian Zara Qairina

Beri kepercayaan pihak berkuasa siasat kematian Zara Qairina

HAJIJI NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua pihak perlu bertenang dan tidak terpengaruh dengan sebarang spekulasi berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir kini dalam siasatan pihak berkuasa.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, adalah penting untuk memberi ruang dan kepercayaan penuh kepada proses undang-undang yang sedang berjalan supaya siasatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan telus.

“Kes ini telah menyentuh perasaan rakyat Sabah, malah turut mendapat perhatian seluruh negara termasuk dari negara jiran. Ia membuktikan keadilan buat adik Zara Qairina adalah tuntutan bersama yang merentasi sempadan dan perbezaan.

“Kita harus menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka tanpa tekanan luar atau gangguan daripada spekulasi tidak berasas,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Hajiji menyambut baik kenyataan terkini Jabatan Peguam Negara (AGC) yang telah mengeluarkan arahan lanjut berhubung kes tersebut, termasuk langkah menggali semula kubur Allahyarham bagi tujuan bedah siasat.

Beliau menegaskan, semua pihak wajar menghormati proses undang-undang dan mengelak daripada membuat sebarang kenyataan yang boleh mengganggu siasatan.

“Keutamaan kita adalah memastikan keadilan dapat ditegakkan untuk adik Zara Qairina dan keluarganya,” ujarnya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Jabatan Peguam Negara mengarahkan agar kubur Zara Qairina digali semula untuk proses bedah siasat dijalankan.

AGC berkata, pihaknya berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.

“Sehubungan itu, laporan penuh siasatan awal telah dikembalikan semula kepada PDRM bersama beberapa arahan, termasuk keperluan untuk menggali semula (exhume) mayat Zara Qairina bagi membolehkan prosedur bedah siasat (post-mortem) dijalankan ke atas jenazah.

“Langkah ini bertujuan untuk memastikan PDRM memperoleh maklumat dan bukti tambahan yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan berhubung kes kematian Zara Qairina,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×