PARIT: Seorang mekanik maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta yang membelok ke arah kanan di Jalan Bota Kiri – Tanjung Belanja di sini petang semalam.
Mangsa, Zulhairi Kamaruzzaman, 19, berasal dari Kampung Sadang, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Changkat Melintang (HCM) dekat sini kira-kira pukul 11.05 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Barudin Wariso berkata, kejadian yang berlaku sekitar pukul 6.40 petang itu melibatkan sebuah motosikal Honda EX5 ditunggang mangsa dengan sebuah kereta jenis Perodua Aruz.
Menurut Barudin, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, kemalangan dipercayai berlaku semasa kedua-dua kenderaan dari arah Bota Kiri menuju ke Tanjung Belanja.
“Apabila sampai di tempat kejadian, ketika kereta berkenaan membelok ke kanan, tiba-tiba datang sebuah motosikal dari arah belakang hendak memotong Perodua Aruz tersebut.
“Oleh kerana jarak yang dekat motosikal itu tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian hadapan sebelah kanan kereta berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan parah akibat pelanggaran tersebut dan dihantar ke HCM untuk menerima rawatan.
“Bagaimanapun pada pukul 11.05 malam waris mangsa memaklumkan mangsa telah meninggal dunia dan kes siasatan lanjut sedang dijalankan di Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE










