MB diminta bertegas, campur tangan isu korek pasir

MB diminta bertegas, campur tangan isu korek pasir

MEOR Razak Meor Abdul Rahman (kiri) dan Noor Ismady Ahmad Radzuan menunjukkan gambar tinjauan daripada dron kerja-kerja tanah yang terus dilakukan di kawasan tanah persendirian di Tanjung Hantu, dekat Pantai Pasir Panjang, Segari, semalam, pada sidang media di Lumut hari ini. - FOTO/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Dua persatuan alam sekitar menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, bertegas dan campur tangan bagi menghentikan kerja-kerja tanah dan pengorekan pasir yang dilakukan berhampiran kawasan pendaratan penyu di Pantai Pasir Panjang, Segari, dekat sini.

Ini kerana tinjauan terbaru oleh Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) semalam mendapati kerja-kerja itu semakin rancak dijalankan bukan sahaja pada waktu siang tetapi juga malam, walaupun pihak berkuasa daerah telah berkali-kali mengarahkan agar aktiviti itu dihentikan dengan arahan terbaharu pada 3 Januari lalu.

Malah, menurut Timbalan Pengerusi KUASA, Noor Ismady Ahmad Radzuan, pihaknya juga mendapati pita penghalang yang dipasang pihak berkuasa di lokasi tersebut juga sudah ditanggalkan.

Beliau melahirkan kebimbangan kerja-kerja pembersihan tanah itu juga semakin menghampiri muara Sungai Puyu iaitu lokasi yang paling banyak penyu mendarat manakala kawasan hutan di tepi pantai kelihatan boleh dibersihkan bila-bila masa sahaja daripada sekarang.

Pegawai Penyelidik Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman pula melahirkan rasa kecewa kerana pengusaha terlibat terus berdegil dan berani melanggar arahan pihak berkuasa agar menghentikan kerja-kerja tersebut.

“Memang kita akui aktiviti itu dilakukan di tanah milik (persendirian) tetapi ia terletak di lokasi sensitif alam sekitar tahap 1 yang tidak membenarkan kerja-kerja tanah.

“Ia telah digariskan dalam Rancangan Fizikal Negara, Rancangan Struktur Negeri, Rancangan Tempatan Daerah Manjung, Garis Panduan Pemuliharaan Dan Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar Untuk Kawasan Pesisiran Pantai serta Enakmen Pengurusan Pesisiran Pantai 2016.

“Oleh itu, kami meminta jasa baik Menteri Besar selaku Pengerusi Jawatankuasa Perancang Negeri dan Ahli Jawatankuasa Majlis Rancangan Fizikal Negara, untuk campur tangan dan bertegas agar pihak tersebut menghentikan kegiatan mereka,” katanya pada sidang akhbar di pejabat KUASA di sini hari ini.

Menurut Meor Razak, hanya ketegasan Menteri Besar sahaja mampu menyelamatkan kawasan pendaratan penyu utama di Perak itu, sebagaimana ketegasan dilakukan Menteri Besar Pahang dalam membanteras pencerobohan tanah kerajaan bagi penanaman durian Musang King di Raub.

Beliau menjelaskan berdasarkan Garis Panduan Pemuliharaan Dan Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar Untuk Kawasan Pesisiran Pantai yang dikeluarkan kerajaan, sebarang kerja-kerja tanah dan pengorekan pasir harus dilakukan pada jarak satu kilometer dari pantai sedangkan apa yang berlaku di pantai Pasir Panjang ialah kerja-kerja itu dilakukan pada jarak antara 100 hingga 200 meter dari pantai.

Meor Razak juga membidas kenyataan dikeluarkan syarikat tersebut kira-kira tiga hari lalu yang mendakwa kerja-kerja penggantian dan pengeluaran pasir yang dilakukan ketika ini adalah untuk penyediaan tanah tersebut bagi mengelak penerokaan haram pertanian, kecurian pasir dan lain-lain aktiviti yang mengancam alam sekitar.

Jelasnya, alasan syarikat tersebut tidak masuk akal kerana mereka sepatutnya memasang pagar jika mahu mengelakkan penerokaan haram bukannya dengan cara mengorek pasir dan menebang pokok.

Syarikat tersebut iaitu Maegma Minerals Sdn. Bhd., dalam kenyataannya juga menyatakan hasrat untuk membangunkan sebuah kilang keluli bersepadu mesra alam di kawasan tersebut dan menyatakan kerja-kerja tersebut memenuhi segala piawaian ditetapkan serta telah diluluskan oleh pihak berkuasa berkaitan dan bekerjasama rapat dengan agensi tersebut.

“Kami ingin menjelaskan kepada orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar bahawa Maegma sangat konsisten untuk memenuhi semua piawaian alam sekitar dan sebarang kerja yang dijalankan adalah mematuhi sepenuhnya piawaian ditetapkan.

“Kerja-kerja yang dijalankan oleh Maegma di kawasan tersebut ketika ini juga tidak menimbulkan sebarang risiko alam sekitar dan bersifat sementara,” kata kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN