Trump batal hadir perkahwinan anak ketika AS pertimbang serang Iran

Trump batal hadir perkahwinan anak ketika AS pertimbang serang Iran

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) sedang mempertimbang untuk melancarkan serangan ketenteraan baharu terhadap Iran, menurut laporan media negara itu semalam.

Laporan oleh CBS dan Axios itu muncul hanya beberapa jam selepas Presiden AS, Donald Trump, memaklumkan beliau tidak akan menghadiri majlis perkahwinan anak lelakinya hujung minggu ini atas faktor ‘keadaan berkaitan kerajaan’ dan ‘kecintaan terhadap AS’.

Trump berkata, penting untuknya kekal berada di Washington DC, di Rumah Putih dalam tempoh penting tersebut.

Axios dan CBS melaporkan, keputusan muktamad mengenai serangan baharu itu masih belum dibuat.

Rundingan dilaporkan masih berlangsung, dengan Pakistan, yang bertindak sebagai orang tengah antara AS dan Iran, menghantar ketua tenteranya ke Teheran dalam usaha memeterai satu perjanjian.

Rumah Putih tidak mengulas mengenai laporan itu ketika diminta AFP.

CBS melaporkan, jurucakap Rumah Putih, Anna Kelly, mendakwa presiden sudah menjelaskan mengenai akibatnya jika Iran gagal mencapai perjanjian.

Rumah Putih sebelum ini pada Jumaat mengumumkan perubahan rancangan hujung minggu Trump apabila beliau tidak akan ke resort golfnya di New Jersey seperti dirancang, sebaliknya kekal di ibu negara AS.

Sekembalinya dari lawatan ke negeri New York, tempat beliau menyampaikan ucapan pada Jumaat, Trump tidak menjawab sebarang pertanyaan wartawan yang sering bersamanya seperti kebiasaan.

Axios melaporkan, yang memetik dua sumber tidak dinamakan, Trump ‘semakin kecewa’ dengan rundingan bersama Iran sejak beberapa hari lalu.

Menurut Axios, pendirian Trump sepanjang minggu ini berubah daripada cenderung kepada penyelesaian diplomatik kepada mempertimbangkan untuk mengarahkan serangan ketenteraan.

CBS pula melaporkan, berdasarkan sumber yang tidak dinamakan, beberapa anggota tentera dan agensi perisikan AS membatalkan rancangan cuti hujung minggu mereka sebagai persediaan menghadapi kemungkinan serangan dilancarkan.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN