MALAYSIA ketika ini sedang melalui fasa transisi ke arah Revolusi Industri 5.0 (IR5.0) yang membawa perubahan besar terhadap landskap ekonomi, pekerjaan dan gaya hidup masyarakat.
Perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi, robotik serta data pintar bukan lagi sekadar gambaran masa hadapan tetapi sudah mula mempengaruhi pelbagai sektor industri pada hari ini.
IR5.0 memberi penekanan terhadap keseimbangan antara teknologi dan nilai kemanusiaan. Era baharu ini bukan hanya memerlukan individu celik teknologi tetapi juga generasi muda yang kreatif, inovatif dan mampu menggunakan teknologi untuk menyelesaikan isu masyarakat secara lestari serta berimpak positif.
Selaras dengan tema Hari Belia Negara 2026, ‘Menggerak Belia’, agenda pembangunan belia hari ini perlu memberi fokus kepada usaha memperkukuh kepimpinan generasi muda, mengangkat potensi mereka serta mempersiapkan belia menghadapi cabaran masa hadapan.
Tema ini sangat relevan dalam konteks transisi IR 5.0 kerana belia merupakan kelompok utama yang bakal menjadi penggerak kepada pembangunan ekonomi, teknologi dan sosial negara pada masa akan datang.
Belia khususnya graduan universiti perlu mula bersedia menghadapi perubahan yang sedang berlaku. Tempoh transisi ini merupakan keadaan yang penting untuk anak muda membina kemahiran masa hadapan agar tidak terus bergantung kepada peluang pekerjaan tradisional semata-mata.
Hakikatnya, banyak pekerjaan rutin dijangka akan berubah atau digantikan dengan penggunaan teknologi dan automasi dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Hari ini, peluang pekerjaan membuka ruang yang lebih luas kepada graduan mencipta inovasi, meneroka kreativiti dan membina nilai baharu dalam masyarakat. Bukan itu sahaja, mereka juga disarankan agar membangunkan minda usahawan dan keupayaan mencipta peluang pekerjaan sendiri melalui inovasi, teknologi serta kreativiti.
Anak muda perlu melihat diri mereka bukan sekadar sebagai pencari kerja tetapi juga sebagai pencipta nilai dan pemacu pembangunan negara.
Oleh itu, budaya inovasi dan kreativiti perlu dipupuk seawal bergelar mahasiswa di universiti lagi. Penglibatan pelajar dalam pertandingan inovasi, pembangunan startup, projek komuniti digital dan aktiviti keusahawanan mampu menjadi platform penting untuk membentuk keyakinan diri serta pengalaman dunia sebenar.
Dalam era transisi IR5.0 ini, kemahiran seperti literasi digital, pemikiran kritikal, komunikasi, kreativiti dan penyelesaian masalah menjadi aset paling bernilai.
Dalam masa sama, pembangunan kepimpinan belia juga perlu diperkasakan agar generasi muda mampu menjadi peneraju perubahan. Belia yang memiliki kemahiran teknologi tanpa nilai kepimpinan dan jati diri yang kukuh akan berdepan kesukaran untuk bersaing secara mampan dalam dunia yang semakin kompleks.
Justeru, elemen kepimpinan, integriti, daya tahan dan semangat sukarelawan perlu bergerak seiring dengan pembangunan kemahiran digital dan inovasi.
Institusi pendidikan tinggi juga perlu bergerak seiring dengan perubahan semasa. Universiti tidak lagi boleh hanya berfungsi sebagai pusat penyampaian teori tetapi perlu menjadi hab pembangunan bakat, inovasi dan kreativiti. Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, kolaborasi bersama industri dan pembangunan ekosistem startup di kampus perlu diperkasakan bagi melahirkan graduan yang benar-benar bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Tempoh transisi menuju industri IR5.0 perlu dilihat sebagai peluang untuk membina kekuatan generasi muda negara.
Masa hadapan Malaysia bergantung kepada sejauh mana belia hari ini mampu menyesuaikan diri dengan perubahan dan berani melangkah ke hadapan.
Industri 5.0 bukan sekadar tentang teknologi canggih tetapi tentang manusia yang mampu menggunakan kreativiti dan inovasi untuk mencipta masa hadapan yang lebih progresif, lestari dan berdaya saing. –UTUSAN
DR. NOR AZRUL MOHD. ZIN
Pensyarah Kanan,
Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran,
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
Universiti Kebangsaan Malaysia










