Cukuplah, sampai bila UMNO mahu bersama DAP?

Cukuplah, sampai bila UMNO mahu bersama DAP?

UMNO perlu membuat penilaian semula berhubung kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJARAH membuktikan sebelum dan selepas UMNO menjadi sebahagian daripada rakan gabungan Kerajaan Madani, parti yang sebelum ini dianggap sebagai parti keramat orang Melayu terus menjadi sasaran kritikan, cacian dan penghinaan oleh pihak DAP.

Dari sudut geopolitik umum, ramai memahami DAP berada dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan semula sokongan pengundi kaum Cina. Justeru, parti itu dilihat tidak mempunyai banyak pilihan selain berusaha menebus kesilapan politik apabila berkongsi kuasa dengan UMNO, sehingga didakwa sanggup melangkaui batas sensitiviti termasuk dalam isu melibatkan institusi istana berkaitan penternakan babi.

Isu yang dibangkitkan ini bukan berkaitan dengan unsur rasis, institusi raja mahupun agama (3R), sebaliknya lebih menjurus kepada persoalan ego dan perebutan kuasa politik.

Sebagai rujukan mudah, beberapa kenyataan pemimpin DAP yang pernah mencetuskan kontroversi terhadap UMNO boleh disenaraikan seperti berikut:
– Suatu ketika dahulu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, seorang ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP melabelkan pemimpin UMNO sebagai ‘anjing’ kerana sering mengadakan demonstrasi di luar kawasan DUN.

– Beberapa tahun lalu, seorang bekas ahli Parlimen DAP pernah menggelar penjawat awam di pihak berkuasa tempatan (PBT) yang majoritinya Melayu sebagai ‘kucing kurap’.

– Ketika DAP disiasat oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung dakwaan penyelewengan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), seorang bekas ahli Parlimen parti itu turut menghina ROS sebagai ‘anjing kerajaan’.

– Selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), UMNO sekali lagi dihina oleh seorang pemimpin kanan DAP Johor susulan kekalahan dalam PRK, apabila parti itu disamakan dengan ‘pesakit kencing manis kronik’.

Terbaharu, penasihat DAP didakwa mengesahkan UMNO tidak boleh dipercayai serta menggesa rakyat agar tidak menyokong calon parti itu pada PRU16 akan datang.

Sudah tiba masanya politik dihentikan. Orang Melayu sudah terlalu letih menanggung tekanan apabila UMNO terus dihina namun masih kekal setia dalam Kerajaan Madani.

Isyarat terkini daripada penasihat DAP dilihat jelas, parti itu secara tidak langsung membuka ruang keluar daripada kerjasama politik sedia ada. Maka timbul persoalan, demi maruah orang Melayu, apa lagi yang sedang ditunggu oleh kepimpinan UMNO?

Secara profesional dan rasional, isu ini tidak boleh ditafsir sebagai penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong kerana Kerajaan Madani masih mempunyai majoriti untuk mentadbir negara walaupun tanpa UMNO.

Bermuhasabahlah wahai pemimpin UMNO. Lakukan tindakan yang lebih tegas dan berstrategi agar apa yang sedang digendong hari ini tidak keciciran menjelang PRU16. –UTUSAN

 

RAHMAD ISAHAK

Aktivis politik

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN