KUCHING: Prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada sudah dapat membendung gelombang varian Omicron Covid-19 terutamanya dalam situasi semasa apabila ada yang mula memberi gelaran DelMicron kerana gelombang Covid-19 yang baru, kata Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Helmy Hazmi.
Bagaimanapun kata beliau, SOP yang sedia ada kini terpulang kepada individu dan masyarakat sama ada mahu mendisiplinkan diri dan mengamalknya bagi mengawal jangkitan dalam komuniti.
“Masyarakat perlu sentiasa beringat dan berwaspada, kita tidak seharusnya leka dan selesa dengan keadaan bilangan kes yang tidak melonjak sekarang ini.
“Malah, momentum pencegahan itu perlu diteruskan melalui pelbagai mesej kesihatan dan sesi keterlibatan yang telah diberikan selama ini agar usaha mengurangkan jangkitan tempatan dapat diteruskan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, dalam situasi ini penguatkuasaan undang-undang perlu diteruskan dengan memastikan kepatuhan dipatuhi seperti pemantauan dari masa ke semasa terutamanya di premis-premis yang melibatkan penjarakan fizikal dan berinteraksi secara sosial.
“Memastikan kepatuhan ini berlaku semasa Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12), Sarawak.
Pihak berkuasa kelihatan di mana-mana bagi memastikan keadaan terkawal, dan tidak berlaku kesesakan agar SOP yang telah dikhususkan pada masa berkenaan sentiasa dipatuhi,” tegasnya.
Pada masa yang sama peranan masyarakat dalam mengurangkan jangkitan pada kategori yang memburukkan perlu diteruskan.
“Masyarakat perlu melengkapkan vaksinasi, termasuk mengambil dos penggalak dengan segera. Fakta yang tepat dan telus tentang vaksin sentiasa perlu diuar-uarkan secara giat dalam pelbagai media agar orang ramai bersikap positif dan yakin tentang keberkesanan vaksin.
“Pada pendapat saya, mereka yang telah menerima vaksin agak senyap dan suara mereka ditenggelamkan oleh suara antivaksin yang begitu galak menular melalui media sosial, justeru, peranan mereka yang telah menerima vaksin perlu diutamakan,” katanya.
Tambah Helmy, penutupan sempadan kepada beberapa negara, dilihat mungkin keputusan yang agak mendadak.
“Mengambil contoh seperti prosedur bagi jemaah yang hendak menunaikan umrah, SOP pergi dan kembali dari umrah perlu diperkukuhkan.
“Seharusnya tidak perlu ditangguhkan kebenaran melakukan umrah, namun mereka perlu diberikan penerangan seperti bersedia untuk menanggung kos kuarantin di stesen dan ujian calitan Covid-19 selepas kembali kelak,” katanya.
Malah, konsep TRIIS (uji, lapor, asing, maklum, dan dapatkan rawatan) perlu dimantapkan lagi kerana ramai masih tidak mengetahui konsep yang ditekankan oleh Kementerian Kesihatan.
Justeru, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh tidak lagi praktikal dalam situasi kadar vaksinasi yang tinggi di negara ini.
Budaya mendisiplinkan diri dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan perlu dipraktikkan agar kita bersedia dan berjaya dalam usaha memerangi varian-varian Covid-19 secara menyeluruh.- UTUSAN ONLINE










