KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui masih terdapat kelemahan tertentu dalam pengurusan bencana ekoran banjir yang melanda negara sejak bulan lalu.
Katanya, berdasarkan situasi pengurusan bencana yang berlaku, kerajaan mengenal pasti tiga cabaran utama yang perlu diberi perhatian untuk diperbaiki dan ditambah baik dengan segera.
“Saya berpandangan masih terdapat kelemahan dari segi pemahaman dalam kalangan agensi-agensi berkaitan di peringkat pusat, negeri dan daerah serta badan berkanun, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan berkaitan tanggungjawab mereka di bawah arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20 di peringkat sebelum, semasa dan selepas bencana,” katanya dalam mesyuarat khas penggal keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau juga menjelaskan, terhadap kelemahan dari segi perintah dan kawalan.
“Ketiadaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) di negeri dan daerah menyukarkan koordinasi secara terus dengan agensi-agensi di lapangan.
“Kerjasama rapat pelbagai pihak seperti kerajaan negeri dan kerajaan tempatan penting dalam memastikan keberkesanan pengurusan bencana negara pada tahap optimum.
“Struktur organisasi sedia ada juga membataskan keupayaan Nadma untuk menyelaras tindakan pengurusan bencana yang melibatkan penduduk setempat, pertubuhan bukan kerajaan dan kerajaan tempatan.
“Kekangan ini menyebabkan Nadma tidak dapat menguruskan bencana secara terus di peringkat negeri dan daerah,” katanya.
Pada masa sama katanya, terdapat kelemahan dari sudut pengurusan maklumat dalam pengurusan bencana.
“Pengurusan bencana negara sangat bergantung kepada maklumat dinamik yang tepat dan cepat dari lapangan. Pada masa ini, pengurusan bencana negara masih mengamalkan kaedah pengumpulan maklumat secara konvensional dan tidak seiring dengan perkembangan teknologi semasa.
“Situasi ini menyebabkan proses penyediaan laporan, penganalisaan, pembuatan keputusan dan pengurusan data mempunyai kelemahan yang ketara.
“Penyaluran maklumat dengan lebih pantas dan tepat kepada agensi-agensi tindak balas dan mangsa-mangsa banjir masih perlu diperbaiki,” katanya.










