BELURAN: Selepas dua hari pencarian akhirnya mangsa kanak-kanak dilaporkan hilang, ditemukan lemas di Sungai Ladang Man Coon, pagi tadi.
Mayat mangsa, Mohd. Ridwan Suprianto Mohd. Aidil berusia empat tahun ditemukan kira-kira pukul 9.50 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) daerah, Rastam Keladi berkata, mayat mangsa ditemukan oleh anggota yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jarak satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Mayat mangsa diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan lanjut.
Sebelum ini, Rastam memaklumkan kejadian kanak-kanak hilang itu dikatakan berlaku pada 2.30 petang, Sabtu lalu, namun laporan hanya dibuat kepada bilik gerakan BBP Beluran pada pukul 5.15 petang.
Kehilangan mangsa disedari oleh bapanya yang menemukan selipar mangsa tertinggal di tepi sungai berkenaan.