ALOR SETAR: Kerajaan Kedah akan mempertahankan keputusan menutup premis perjudian dan loteri di negeri ini dengan membawa kes berkenaan ke Mahkamah Persekutuan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mansor Zakaria berkata, pihaknya terus menggerakkan usaha itu dengan memanfaatkan sepenuhnya kerangka dan saluran perundangan sedia ada.
“Kita telah mengadakan perbincangan dengan Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah dan kerajaan negeri memutuskan akan membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mansor berkata, dalam realiti sistem perundangan negara, kerajaan negeri terpaksa akur kepada keputusan ditentukan mahkamah walaupun bertentangan dasar pentadbiran Kedah.
Pada 12 Disember lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Kerajaan Negeri Kedah untuk tidak memberi serta memperbaharui lesen premis perjudian dan loteri dengan alasan tindakan sedemikian adalah tidak berperlembagaan.
Dalam keputusan majoriti, Hakim Datuk Faizah Jamaludin dan Datuk Dr. Lim Hock Leng memutuskan rayuan tersebut tidak mempunyai merit namun Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi mempunyai pendapat yang berbeza.
Pada 20 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Alor Setar memutuskan tindakan Kerajaan Negeri menghentikan pembaharuan lesen premis perjudian berkuat kuasa sebagai tidak sah.
Ia susulan enam permohonan semakan kehakiman oleh syarikat pertaruhan bagi mencabar keputusan tersebut.-UTUSAN










