PETALING JAYA: Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) tidak boleh berkomplot atau bertindak melulu di sebalik pertikaian kes membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, LPPR hanya sebuah badan yang berfungsi penasihat halatuju SPRM, bukannya membersihkan nama pemimpin yang terpalit dengan salah laku.
Justeru, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menjalankan tanggungjawab melakukan siasatan penuh terhadap Azam tanpa sebarang desakan atau pengaruh badan eksekutif.
“Wang dalam akaun saham yang dikatakan bukan miliknya menimbulkan keraguan daripada mana datangnya sumber walaupun dikatakan milik adik beliau.
“Malah transaksi tidak jelas perlu diteliti sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang lain yang boleh membawa kepada potensi salah laku lain seperti kesalahan penggubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Terdahulu, beliau bersama beberapa pemimpin AMK membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi susulan penjelasan Azam berhubung saham bernilai jutaan ringgit atas namanya dibeli adiknya, Nasir Baki tetapi menggunakan akaunnya.
Dalam pada itu Akmal Nasir berkata, pengakuan Azam dalam sidang akhbar sebelum ini turut menimbulkan syak wasangka terhadap pematuhan pemilikan dan pengisytiharan harta oleh pegawai awam dengan syarat ditetapkan serta mendapat kebenaran pegawai atasan. – UTUSAN ONLINE










