Lelaki maut kemalangan dalam perjalanan lawat isteri di hospital - Utusan Malaysia

Lelaki maut kemalangan dalam perjalanan lawat isteri di hospital

SEORANG pengawal keselamatan yang dalam perjalanan melawat isterinya yang sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) maut selepas merempuh Proton X70 yang berhenti di tepi lebuh raya di Kilometer 5.7 Lebuh Raya Butterworth-Kulim arah Butterworth, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Hasrat seorang pengawal keselamatan melawat isterinya yang sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dekat sini tidak kesampaian apabila dia terbunuh dalam kemalangan semalam.

Kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu dilaporkan berlaku di Kilometer 5.7 Lebuh Raya Butterworth-Kulim arah Butterworth di sini.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 39 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda 110Z meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa melanggar belakang SUV jenis Proton X70 yang berhenti di tepi lebuh raya.

Jelas beliau, SUV itu dikatakan mengalami kerosakan dan pemandunya yang merupakan jurujual berusia 33 tahun berhenti di lorong kecemasan untuk memeriksa kenderaan.

“Selang beberapa minit, motosikal yang ditunggang mangsa melanggar belakang SUV itu sehingga menyebabkan mangsa terkorban,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Shafee berkata, kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Guar Perahu, Bukit Mertajam di sini menuju ke HSJ bagi melawat isterinya yang sedang sakit.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN