fbpx

Lega tidak perlu lagi gantung kostum badut

SHARIMI Muhamad beraksi sebagai badut sambil melayan kanak-kanak dalam sebuah majlis persendirian di Kota Bharu, semalam. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Golongan penghibur seperti badut kini bernyawa semula apabila perkhidmatan mereka mula ditagih selepas kerajaan membenarkan kenduri dan majlis keraian dianjurkan di Kelantan.

Penggiatnya, Sharimi Muhamad, 42, memberitahu Utusan Malaysia, kelonggaran diberikan itu melegakan kerana sudah dua tahun komuniti badut terpaksa ‘menggantung’ kostum masing-masing.

Sharimi yang sudah tujuh tahun beraksi sebagai badut berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua kostum dan peralatan silat mata serta permainan uji minda terkunci rapat di dalam almari.

“Kali terakhir saya sempat beraksi tiga hari sahaja iaitu dalam program bufet Ramadan pada 2021 di sebuah resort. Sepatutnya saya dapat kontrak sebulan untuk layan pelanggan tetapi dibatalkan kerana penularan Covid-19.

“Sepanjang PKP kali kedua, tiada lagi sebarang tempahan kerana majlis dan acara tidak dibenarkan, sekali gus sumber pendapatan sebagai badut pun terputus terus,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sharimi berkata, di Kelantan, kadar bayaran perkhidmatan badut ialah RM350 sejam merangkumi penyediaan 100 biji belon, pertunjukan silap mata atau aktiviti uji minda terhadap golongan sasar.

“Sebelum musim Covid-19, saya sering dipanggil beraksi di sekolah rendah sekitar Kota Bharu dan Kuala Krai, selain program hari keluarga agensi-agensi kerajaan serta majlis hari jadi di rumah-rumah.

“Namun begitulah resmi badut. Sedih, duka, hilang punca pendapatan tidak mengubah seri wajah, kami tetap tersenyum,” katanya yang memilih memakai topeng muka khas, sesuai dengan suasana pandemik ketika ini, selain menjimatkan masa kerana tidak perlu bersolek.

Pekerja di sebuah syarikat kurier itu berkata, tahun 2022 yang menyaksikan Kelantan beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) memberi sinar baharu kepadanya apabila tempahan pelanggan mula rancak diterima.

“Semalam kali pertama saya beraksi semula bagi memenuhi undangan sebuah keluarga yang mengadakan majlis sambutan ulang tahun kelahiran anak mereka yang kini berusia lima tahun,” katanya.

POPULAR

KOSMO! TERKINI