LUMUT: DAP merasmikan Wisma DAP di Sitiawan, Perak di sini yang merupakan kerusi Parlimen terawal yang dimenangi oleh parti itu semasa Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 1969.
Antara tetamu utama yang hadir ialah veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, Setiausaha Agung parti, Anthony Loke dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.
Bangunan itu yang dinamakan Wisma Demokratik DAP juga berfungsi sebagai Pusat Khidmat Ahli Parlimen Beruas dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Astaka.
Anthony Loke semasa berucap berkata, bangunan itu penting sebagai aset parti.
“Apa yang lebih penting ialah kepercayaan daripada rakyat. Sebuah parti hanya akan ada masa depan yang cerah, sekiranya yang pertama rakyat percaya kepada parti.
“Yang kedua ialah kita ada kesinambungan perjuangan. Hari ini, bukan sahaja saya bangga melihat DAP Sitiawan ada bangunan kita sendiri, tetapi juga ada sekumpulan ahli-ahli daripada golongan anak muda yang bersama-sama,” katanya.
Pada PRU 1969, DAP menang kerusi Parlimen Sitiawan menerusi Richard Ho Ung Hun yang beberapa tahun kemudian dilaporkan menyertai MCA.
Kerusi itu kemudian dinamakan semula sebagai Beruas dan kini disandang oleh pemimpin DAP, Datuk Ngeh Koo Ham sejak tahun 2008.
Wisma tersebut turut memaparkan sejarah DAP termasuk maklumat mengenai Kit Siang dalam lipatan sejarah parti tersebut. – UTUSAN










