Dua remaja terima upah RM50 bawa RXZ seludup dicekup

Dua remaja terima upah RM50 bawa RXZ seludup dicekup

DUA buah motosikal jenis Yamaha RXZ yang dirampas PGA dalam serbuan di Kampung Bendang Pak Yong, Tumpat, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Hanya kerana upah RM50, dua remaja sanggup menjadi ‘transporter’ dengan menunda motosikal jenis Yamaha RXZ dipercayai diseludup dari Thailand sebelum dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) berhampiran Bulatan Jam Kampung Bendang Pak Yong di sini awal pagi tadi.

Kedua-dua suspek berusia 19 dan 21 tahun itu ditahan anggota PGA ketika menunda sebuah motosikal Yamaha RXZ tanpa nombor pendaftaran menggunakan sebuah lagi motosikal jenis sama dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 1.30 pagi.

Komander Briged Tenggara Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua motosikal berwarna merah itu tidak mempunyai nombor pendaftaran dan enjinnya tidak berdaftar di Malaysia.

“Siasatan awal percaya motosikal itu dibawa masuk dari Thailand secara tidak sah melalui pangkalan haram di Tumpat.

“Kedua-dua suspek mengaku mengambil motosikal berkenaan selepas berurusan dengan seorang lelaki dikenali sebagai Dollah dan menerima upah RM50,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahmad Radzi memberitahu, dua motosikal Yamaha RXZ itu dianggarkan bernilai RM10,000 dan telah dirampas untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes diserahkan kepada Pejabat Kastam Pengkalan Kubor, Tumpat dan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN