Lebih RM125 juta disalurkan kepada negeri-negeri terjejas banjir - PM - Utusan Malaysia

Lebih RM125 juta disalurkan kepada negeri-negeri terjejas banjir – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM125.504 juta disalurkan menggunakan tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) kepada negeri-negeri yang terjejas banjir, setakat semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir setelah mengumumkan bantuan Keluarga Malaysia berjumlah RM1.4 bilion seperti Bantuan Wang Ihsan (BWI).

“Sehingga 19 Januari 2022, sejumlah RM125.504 juta telah disalurkan menggunakan tabung KWABBN kepada negeri-negeri yang terjejas bagi tujuan pengagihan BWI berjumlah RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah.

“Sehingga 18 Januari 2022, bagi mangsa-mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara, prestasi pengagihan adalah sebanyak 97.3 peratus daripada bilangan ketua isi rumah yang layak bagi gelombang pertama banjir meliputi lapan buah negeri.

“Prestasi pengagihan bagi gelombang kedua adalah sebanyak 57.3 peratus meliputi Terengganu, Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang, Sabah dan Johor,” katanya dalam mesyuarat khas penggal keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, bagi mangsa banjir yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara, prestasi pengagihan adalah sebanyak 50.8 peratus.

“Bagi Bantuan Pembelian Keperluan Asas (BPKA), Nadma telah menyalurkan RM25 juta kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM) menggunakan tabung KWABBN bagi tujuan pengagihan bantuan ini kepada ketua isi rumah yang layak. Bantuan ini telah mula diberikan sejak 8 Januari 2022,” katanya.

Jelasnya, peruntukan tambahan juga diberikan dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan semasa kepada bantuan membina dan membaik pulih rumah.

“Kategori 1 adalah bantuan pembaikan ini berjumlah kurang RM5,000 menggunakan tabung KWABBN yang diberikan secara tunai kepada ketua isi rumah yang layak. Ia diselaraskan oleh ICU dengan kerjasama agensi-agensi teknikal dan kerajaan negeri.

“Kategori 2 adalah bantuan pembaikan ini berjumlah antara RM5,000 ke RM15,000. Kategori Bandar dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan manakala Kategori Luar Bandar dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

“Kategori 3 adalah bantuan pembinaan rumah baharu akibat kemusnahan keseluruhan berjumlah RM56,000 untuk sebuah unit. Kategori Bandar dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan manakala Kategori Luar Bandar dilaksanakan oleh KPLB,” katanya.

Selain itu katanya, Baucar Diskaun Pembelian Alat Elektrik dan Rebat Bil Elektrik turut diberikan bagi bulan Disember 2021 dengan bantuan berjumlah RM500 bagi setiap ketua isi rumah yang layak.

Tambahnya, sumbangan sebanyak RM139.2 juta diberikan menerusi GLIC dan GLC Disaster Recovery Network (GDRN) bagi membantu menyediakan keperluan asas kepada ketua isi rumah yang terkesan.

Di samping itu katanya, pinjaman mikro Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk isi rumah diberikan iaitu pinjaman tanpa faedah sehingga RM10,000 dengan enam bulan moratorium serta bayaran balik dalam tempoh tiga tahun.

Katanya, ia termasuk pinjaman TEKUN untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Pinjaman maksimum RM100,000 iaitu pinjaman adalah tanpa faedah bagi perusahaan mikro sehingga RM10,000.

“Kemudahan Pinjaman Bantuan Bencana untuk PMKS disediakan oleh Bank Negara Malaysia dengan pinjaman maksimum RM500,000 serta moratorium pinjaman mangsa banjir boleh dimohon sehingga enam bulan bagi pinjaman sedia ada,” katanya.

Justeru katanya, jumlah RM1.4 bilion ini adalah bantuan secara terus oleh kerajaan kepada mangsa-mangsa banjir yang terkesan.

“Selain daripada jumlah ini, kerajaan juga telah menyediakan peruntukan bagi pembaikan infrastruktur, kerosakan dan sebagainya yang jauh melebihi nilai tersebut. Pihak kerajaan sedang membuat penilaian bagi semua kerja-kerja yang dimaksudkan ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN