KOTA TINGGI: Dua maut manakala enam disyaki hilang selepas bot pancung membawa 27 penumpang dipercayai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia karam di perairan Teluk Ramunia, awal pagi ini.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru mendapat maklumat melalui Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) mengenai kejadian yang dilaporkan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu pada pukul 4.50 pagi tadi di kedudukan 0.8 batu nautika Teluk Ramunia.
“Sebelum itu pada pukul 3.45 pagi radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia mengesan satu sasaran curiga sedang bergerak dari perairan Pulau Bintan, Indonesia menuju ke perairan negara dan telah menyalurkan maklumat kepada aset TLDM KD Sri Indera Sakti yang dalam penugasan Op Benteng.
“Berikutan itu aset TLDM telah mengesan sasaran curiga pada pukul 4.10 pagi dan bot suspek bertindak melarikan diri secara agresif dan berbahaya lalu terbalik seterusnya karam di lokasi kejadian.
“Dilaporkan bot tersebut membawa 27 PATI warga Indonesia dan seramai 21 mangsa berjaya ditemukan dengan 19 orang selamat terdiri dari 10 wanita serta sembilan lelaki. Manakala dua lagi mangsa wanita ditemui mati. Baki enam orang mangsa masih hilang di laut, “katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya susulan itu MRSC Johor Bahru telah mengaktifkan Op Carilamat pada pukul 6.40 pagi bagi mencari baki mangsa yang hilang. – UTUSAN ONLINE