Nama Netanyahu kena 'boo' ketika ucapan Witkoff di Dataran Tebusan

Nama Netanyahu kena ‘boo’ ketika ucapan Witkoff di Dataran Tebusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Sebahagian daripada ribuan hadirin di perhimpunan solidariti untuk tebusan di Tel Aviv pada malam Sabtu bertindak mengejek apabila nama Benjamin Netanyahu disebut, menyebabkan ucapan utusan khas AS ke Asia Barat, Steve Witkoff beberapa kali terganggu ketika beliau memuji peranan Perdana Menteri Israel itu.

Witkoff bersama menantu Donald Trump, Jared Kushner, dan isterinya Ivanka Trump, turut berucap pada perhimpunan itu, yang menurut penganjur dijangka menjadi yang terakhir selepas semua tebusan dijangka dibebaskan menjelang Isnin.

Lapor Times of Israel, acara tersebut diadakan tiga hari selepas Witkoff dan Kushner bertindak sebagai perantara utama dalam perjanjian gencatan senjata serta pertukaran tebusan yang disokong AS.

Ucapan Witkoff dan Kushner mendapat sorakan gemuruh daripada hadirin. Ketika Witkoff bersiap untuk berucap, orang ramai yang mengibarkan bendera Israel dan AS melaungkan, ‘Terima kasih, Witkoff’.

“Saya telah lama mengimpikan malam ini. Ini adalah pemandangan paling luar biasa,” katanya kagum dengan kehadiran lebih 100,000 orang walaupun penganjur mendakwa jumlahnya mencecah setengah juta.

Namun suasana berubah apabila Witkoff mula memuji peranan Netanyahu dalam rundingan tersebut.

“Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu,” katanya sebelum disambut dengan ejekan ‘boo’ kuat .

Orang ramai kemudian mula melaungkan nama Trump. Witkoff tersenyum kekok dan berusaha meneruskan ucapannya.

“Baiklah, sebelum meneruskan ucapannya. Baiklah, izinkan saya habiskan dulu. Saya berada di barisan hadapan bersama perdana menteri. Percayalah, beliau memainkan peranan yang sangat penting,” katanya di tengah-tengah ejekan, sebelum menyambung dengan serius dan meneruskan pujian terhadap peranan Netanyahu.

Namun, apabila nama Trump disebut kemudian dalam ucapannya, sorakan bergema di seluruh dataran.

Perhimpunan-perhimpunan yang menyeru pembebasan 48 tebusan terakhir termasuk 20 yang masih hidup sering kali menyeru secara langsung kepada Trump untuk campur tangan, dengan kain rentang besar yang memaparkan namanya diangkat tinggi di atas kerumunan orang ramai.

Sejak dua tahun lalu, perhimpunan mingguan itu bukan sahaja menuntut pembebasan tebusan tetapi juga menjadi pentas kritikan keras terhadap Netanyahu.

Penceramah menuduh beliau gagal mencegah serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, tidak menunjukkan komitmen mencukupi untuk membebaskan tebusan, dan melaksanakan dasar yang memburukkan keadaan negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN