Kutipan sisa pepejal, pembersihan seperti biasa pada Tahun Baharu Cina - Utusan Malaysia

Kutipan sisa pepejal, pembersihan seperti biasa pada Tahun Baharu Cina

TEO Kok Seong (dua dari kiri) bersama Mohd. Norlisam Mohd. Nordin (dua dari kanan) melihat pembersihan pantai menggunakan ‘Beach Comber’ (jentera pembersihan pantai) di Pantai Saujana, Port Dickson. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di Negeri Sembilan tetap berjalan seperti biasa dan mengikut jadual walaupun pada sambutan Tahun Baharu Cina minggu depan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Teo Kok Seong berkata, seramai 1,289 anggota petugas syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) akan bersedia pada hari pertama hari pertama perayaan.

Menurutnya, seramai 1,363 petugas pula akan bersiap sedia pada hari kedua bagi memastikan kutipan sisa domestik tersebut dapat berjalan dengan baik.

“Kutipan sisa domestik turut dilaksanakan seperti biasa di 42 lokasi tong sampah berpusat, 29 buah lokasi rumah pangsapuri dan sembilan buah lokasi tumpuan pelancong, ia agar sisa dapat diuruskan dengan baik.

“Sempena Tahun Baharu Cina, operasi akan diteruskan seperti biasa, saya faham ramai pengguna yang mengemas rumah untuk sambutan perayaan ini dan mereka boleh meletakkan sisa tersebut di tepi tong sampah beroda pada hari kutipan mengikut jadual yang ditetapkan di kawasan kediaman masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar Strategi Operasi Tahun Baharu Cina di Pantai Saujana di sini hari ini. 

Yang hadir sama, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan, Mohd. Zahir Shari dan Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin.

Menurut Kok Seong, pihak SWM juga akan menggerakkan sejumlah 111 kenderaan lori kompaktor bagi melaksanakan kutipan sisa domestik dan 58 kenderaan lori terbuka bagi melaksanakan kerja kutipan sisa taman, kitar semula dan pukal pada Tahun Baharu Cina kali ini.

Sementara itu, Mohd. Norlisam menjelaskan, pihak SWM meminta orang ramai memberikan kerjasama dengan tidak meletakkan sebarang halangan terutamanya kenderaan pada laluan utama lori kompaktor dan lori terbuka pada musim perayaan ini.

Beliau turut memaklumkan sebanyak 234 buah tong sampah beroda dan tong sampah berpusat turut disediakan di sepanjang pantai Port Dickson bagi kegunaan orang ramai yang dijangka akan ke kawasan pelancongan tersebut sempena cuti Tahun Baharu Cina.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya