Kunjungan Duta Besar Jerman ke UMP perkukuh hubungan pendidikan dua negara - Utusan Malaysia

Kunjungan Duta Besar Jerman ke UMP perkukuh hubungan pendidikan dua negara

DR PETER Blomeyer mencuba alat driving simulator di makmal ketika berkunjung ke UMP di Pekan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kunjungan Duta Besar Jerman ke Malaysia, Dr. Peter Blomeyer ke Universiti Malaysia Pahang (UMP) memperkukuh hubungan baik antara UMP dan institusi pendidikan Jerman sejajar dengan hasrat universiti berkenaan mengembangkan model pendidikan kejuruteraan Jerman (Fachhochschule) dalam sistem pendidikan teknikal negara. 

Ketibaan Dr. Blomeyer disambut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd. Rosli Hainin dan Pengarah Pusat Kerjasama Akademik Jerman, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd. Ruzaimi Mat Rejab bersama barisan pengurusan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM). 

Turut sama Dekan FTKMA, Profesor Dr. Mahadzir Ishak, Dekan Fakulti Kejuruteraan Teknologi Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Profesor Madya Dr. Hamdan Daniyal dan Dekan FTKPM, Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Faiz Mohd. Turan.

Menurut Mohd. Rosli, UMP dan institusi Jerman iaitu Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) Jerman telah memeterai kerjasama erat sejak 27 Mei 2010 dengan pengambilan pertama program ijazah Kejuruteraan Mekatronik (UMP-HKA).

“Kerjasama dengan negara Eropah itu bermula menerusi rundingan UMP dengan Perkhidmatan Pertukaran Akademik Jerman (DAAD) iaitu sebuah agensi kerajaan Jerman yang bertanggungjawab terhadap kerjasama akademik antarabangsa  dengan sokongan pihak kedutaan Jerman dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). 

“Kunjungan Duta Besar Jerman ini pastinya sangat bermakna buat UMP dalam mengukuhkan hubungan baik khususnya dalam kolaborasi akademik dan program mobiliti melibatkan pelajar UMP serta pelajar dari Jerman.

“UMP turut mempunyai Pusat Kerjasama Akademik Jerman (GACC) yang menyelaras program akademik, promosi, mobiliti pelajar dan kerjasama luar Jerman,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Mohd. Rosli berkata, Dr. Blomeyer turut berpeluang melawat makmal dan penyelidikan UMP serta beramah mesra dengan penuntut yang sedang mengikuti pengajian program mekatronik dan automotif hasil kerjasama UMP- Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) dan pelajar program Kejuruteraan Perniagaan dengan pihak Reutlingen University (HsRT).

“Dalam menerajui pendidikan kejuruteraan, UMP sebagai salah sebuah Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) turut menetapkan sasaran agar semua fakulti dan jabatan di universiti ini perlu menjalinkan program antarabangsa sebagai penanda aras dalam memperkasa pembangunan akademik di universiti ini dalam perancangan Pelan Strategik UMP 2021-2025,” katanya. 

Bagi Dr. Blomeyer pula, pihaknya berpuas hati dengan kerjasama baik antara UMP dengan institusi Jerman dan berbangga dengan pencapaian universiti dalam kebolehpasaran graduan mencapai 96 peratus mendapat pekerjaan. 

“Saya turut dibawa melawat makmal kejuruteraan mekatronik dan automotif dan pada sesi perbincangan turut membicarakan tentang aspek alam sekitar, perubahan iklim, biodiversiti, teknikal dan sains serta sistem pendidikan (dual system) akademik di Jerman yang boleh menyumbang terhadap kerjasama dalam bidang TVET di negara ini,” katanya.

Dengan adanya Malaysian – German Chamber of Commerce and Industry (MGCC), UMP turut berpotensi untuk menjalinkan kerjasama dengan industri yang boleh diterokai pada masa hadapan seiring dengan perkembangan ekonomi yang pesat dan sumbangan sektor perdagangan dan perindustrian dalam negara. 

 Malah hubungan baik itu membolehkan UMP bekerjasama erat dengan nama-nama besar dalam industri dari Jerman seperti Mercedes-Benz, Volkswagen, BMW, Robert Bosch, Muehlbauer Technologies dan Elektrisola yang memberi peluang penempatan latihan industri, pertukaran staf, lawatan industri dan peluang pekerjaan. 

UMP satu-satunya universiti tempatan yang menerima sumbangan anugerah kecemerlangan pelajar daripada Persatuan Jurutera-Jurutera Jerman (VDI) Karlsruhe.

VDI merupakan pertubuhan yang mempunyai kepakaran kejuruteraan dan teknologi, menyediakan perkhidmatan kepada jurutera, penasihat terhadap ekonomi, politik dan teknologi serta menyumbang kepada aspek teknikal dan saintifik dalam pembangunan kejuruteraan Jerman di peringkat antarabangsa. -UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya