Kotak santan berisi dadah dihantar melalui kurier dirampas - Utusan Malaysia

Kotak santan berisi dadah dihantar melalui kurier dirampas

MOHD. Zaidi Abdullah (dua kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Taktik menyembunyikan dadah jenis syabu dalam kotak santan yang dihantar melalui khidmat penghantaran barang atau kurier berjaya dikesan oleh pihak polis.

Dalam tiga serbuan berasingan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia 37 hingga 52 tahun bersama syabu seberat 9.21 kilogram dan sekilogram ketamin yang dianggarkan berjumlah RM386,848.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, suspek pertama dan kedua ditahan kira-kira 2.45 petang pada 26 Januari lalu masing-masing ditahan di Lorong Ranggung Batek, Likas dan berhampiran dewan di Luyang.

Beliau berkata, siasatan terhadap kedua-dua suspek membawa kepada satu lagi tangkapan susulan yang membabitkan penahanan seorang lelaki Cina berumur 50 tahun di hadapan sebuah pusat membeli belah di Alam Mesra.

Pemeriksaan terhadap suspek pertama menemukan sebuah kotak yang berisi tujuh bungkusan disyaki dadah jenis syabu seberat 7.17 kilogram manakala, suspek ketiga ditahan bersama dadah seberat 2.44 kilogram dan sekilogram ketamin.

“Siasatan terhadap kesemua suspek, mereka mengaku membuat pesanan dadah daripada Semenanjung dan dihantar melalui khidmat kurier atau penghantar barang ke sebuah lokasi yang menggunakan alamat palsu.

“Dadah itu tiba daripada Semenanjung pada hari yang sama suspek pertama dan kedua ditahan ,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) hari ini.

Mohd. Zaidi berkata, dadah sebanyak 9.21 kilogram itu dipercayai digunakan sendiri serta dijual kepada penagih sekitar daerah ini dan ia dijangka mampu menampung keperluan 51,000 penagih.

Mengulas lanjut katanya, siasatan juga mendapati, suspek mengaku baru beroperasi pada Disember tahun lalu tetapi, pihak polis percaya operasi sindiket ini sudah dilakukan jauh lebih lama.

Hasil siasatan juga mendapati suspek pertama dan kedua yang ditangkap masing-masing mempunyai enam dan tujuh rekod jenayah berkaitan dadah bagi kesalahan lampau. Ada kes yang telah dijatuhkan hukuman dan ada kes masih dalam proses perbicaraan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan dan sekiranya siasatan belum lengkap, reman mereka akan disambug.

“Saya ingin memberi amaran kepada pengedar dadah di luar sana bahawa modus operandi menggunakan syarikat penghantaran barang atau kurier sudah diketahui maka, kita akan memastikan mereka terlepas daripada tindakan undang-undang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya