Khaled Nordin lawat PDM kukuhkan spekulasi PRN Johor

Khaled Nordin lawat PDM kukuhkan spekulasi PRN Johor

MOHAMED Khaled Nordin berucap ketika melawat PDM Telok Jawa di Kampung Kuala Masai, Pasir Gudang, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor seperti bukan lagi rahsia apabila Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melakukan tinjauan ke beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Parlimen Pasir Gudang, semalam.

Bekas Menteri Besar Johor itu menerusi entri di laman Facebook rasmi miliknya berkata, pihaknya akan berusaha memastikan Barisan Nasional (BN) menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya dan Permas.

“Saya nyatakan kepada ahli parti bahawa kita semua ada tanggungjawab dan peranan untuk kembalikan Johor sebagai tiang seri UMNO. Kita akan pastikan, segala retorik janji dan tipu daya Pakatan Harapan (PH) serta mereka yang pernah menjadi sebahagian dari PH yang menipu pengundi, tidak akan berulang lagi,” katanya.

Beliau dilaporkan berkata demikian ketika melawat PDM Telok Jawa di Kampung Kuala Masai dan PDM Sri Amar di Taman Sri Pandan, malam tadi.

Tambah Khaled, BN mempunyai ‘track record’ dalam menguruskan Malaysia yang majmuk hingga mampu memacu kestabilan dan kemakmuran negara berdasarkan pengalaman dimiliki.

“Atas sebab itu amat penting untuk BN kembali mendapat mandat penuh daripada rakyat. Walau apa jua keadaannya, UMNO Pasir Gudang sudah bersedia untuk menangkan DUN Johor Jaya dan Permas. Pilihan Raya Umum ke-14 telah membuktikan bahawa, wakil-wakil rakyat PH yang dipilih gagal berkhidmat dan tidak membawa apa-apa perubahan kepada Pasir Gudang,” ujarnya.

Tindakan kepimpinan UMNO pusat itu yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang melawat PDM mencetuskan lagi kesahihan bahawa Johor bakal menyaksikan pelaksanaan PRN dalam waktu terdekat ini.

Hari ini, Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad dijangka mengadakan sidang akhbar selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat UMNO negeri di ibu pejabat UMNO Johor.

Semalam, Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Seri Dr. Adham Baba mempengerusikan Mesyuarat Penerangan UMNO Negeri di bangunan berkenaan bersama biro penerangan kesemua 26 bahagian UMNO di negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN