Kerajaan haramkan vape isi semula secara manual

Kerajaan haramkan vape isi semula secara manual

CKD
DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengharamkan sepenuhnya pen­­jualan dan penggunaan ro­kok elektronik atau vape jenis sistem pod terbuka yang boleh diisi semula.

Langkah ini bagi membendung ia daripada disalah guna oleh pengguna dengan memasukkan cecair vape me­ngandungi bahan terlarang termasuk dadah.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad ber­kata, vape sistem terbuka mu­dah dimanipulasi kerana pengguna boleh me­ng­isi cecair secara manual.

Katanya, ini sekali gus membuka ruang kepada penyalahgunaan pelbagai bahan terlarang.

Katanya, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada pendekatan tegas Kementerian Kesihatan (KKM) di bawah agenda kesihatan awam dan etika, selaras de­ngan pendirian kementerian yang tidak akan berkompromi dalam isu rokok dan vape.

“Pendirian saya kekal, tiada kompromi. Penguatkuasaan pe­nuh adalah tanggungjawab mo­ral kita untuk melindungi gene­rasi akan datang,” kata­nya pada Majlis Amanat Tahun Baharu KKM 2026 di sini, semalam.

Beliau berkata, sasaran kementerian adalah untuk me­laksanakan pengharaman penuh vape dengan sistem terbuka bermula seawal 2026, sebelum mempertimbangkan langkah-langkah seterusnya berdasarkan keberkesanan pelaksanaan dasar berkenaan.

Katanya, KKM telah memperoleh persetujuan awal berhubung cadangan tersebut dan akan membawanya ke Mesyua­rat Jemaah Menteri dalam masa terdekat bagi mendapatkan keputusan dasar.

Sementara itu, Presiden Per­satuan Peruncit Rokok Elektronik Malaysia (MRECA), Datuk Adzwan Ab Manas berkata, pendekatan kerajaan itu dilihat lebih menumpukan kepada pengharaman atau kawal selia ketat terhadap vape berbanding rokok konvensional.

Menurutnya, tindakan se­timpal juga perlu diambil dari segi penguatkuasaan terhadap rokok konvensional dan ro­kok seludup memandangkan produk berkenaan terbukti le­bih berbahaya dan masih berada di pasaran.

“Vape yang berada di bawah kerangka undang-undang sama melalui Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) menjadi sasaran utama, manakala rokok terma­suk rokok seludup terus dijual secara terbuka tanpa penguatkuasaan yang serius,” katanya.

Beliau berkata, industri juga telah membelanjakan jutaan ringgit kepada Kementerian Kesi­hatan bagi mendapatkan kelulusan produk semata-mata untuk mematuhi syarat yang ditetapkan sebelum ini.

“MRECA tidak menentang peraturan, namun kami menun­tut kawal selia yang berasaskan fakta dan bukti saintifik, di samping memberi ruang kepada pengguna membuat pilihan yang sah dan selamat tanpa mendorong mereka kembali kepada rokok konvensional atau pasaran gelap.

“Jika pengguna mahukan produk yang lebih selamat dan bebas daripada bahan terlarang, mereka boleh mendapatkannya melalui kedai vape khusus yang sah, bukannya melalui saluran haram,” katanya.

Walau bagaimanapun, Se­tia­u­saha Agung Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, tidak seharusnya wu­jud sebarang alternatif bagi vape termasuk melalui justifikasi kurang memudaratkan.

“Selaras dengan keputusan negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 2004 yang bersetuju menghapuskan semua bentuk produk merokok menerusi kelulusan Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO FCTC), dengan Malaysia sebagai negara pihak.

“Naratif kurang memudaratkan juga dipromosikan oleh segelintir ahli akademik yang menerima dana daripada syarikat vape untuk menguar-uarkan pendekatan tersebut sebagai alternatif, sedangkan ia bercanggah dengan semangat penghapusan sepenuhnya produk tembakau dan nikotin,” katanya.

Tambahnya, beberapa kerajaan negeri telah membuat ketetapan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mengeluarkan lesen penjualan vape di negeri masing-masing.

“Menteri Kesihatan juga te­lah menyatakan kecenderungan ke arah pengharaman vape pada masa hadapan, namun setakat ini masih belum ada sebarang garis masa rasmi ditetapkan,” katanya.

Beliau turut menegaskan, sebagai sebuah pergerakan yang mendukung usaha menghapuskan semua bentuk ketagihan, MCTC melihat vape sebagai ‘nyawa kedua’ kepada industri tembakau, memandangkan lebih 90 peratus pengeluaran dan pemasaran produk tersebut kini dikawal oleh syarikat-syarikat rokok.

“Lebih membimbangkan, vape disasarkan kepada kanak-kanak dan golongan muda, dan ini merupakan satu hakikat berdasarkan statistik penggunaan vape. Oleh itu, kesan terhadap perniagaan tidak seharusnya lagi dijadikan alasan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN