'Saya masih Presiden Venezuela'

‘Saya masih Presiden Venezuela’

LAKARAN bilik mahkamah menunjukkan Nicolas Maduro (ke-2 kiri) dan isterinya, Cilia Flores, menghadiri pendakwaan di Mahkamah Persekutuan AS Daniel Patrick Moynihan di New York, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Bekas Presiden Venezuela yang digulingkan, Nicolas Maduro, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan pengedaran dadah dan dakwaan lain dalam penampilan pertama di mahkamah New York kelmarin, dua hari selepas ditangkap oleh pasukan Amerika Syarikat (AS).

Maduro, 63 tahun, yang ditangkap secara paksa dalam operasi ketenteraan AS di Caracas, hadir di hadapan hakim dengan pergelangan kaki dirantai dan berpakaian banduan.

Melalui jurubahasa, beliau menafikan semua pertuduhan yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup dan menegaskan kedudukannya sebagai presiden Venezuela yang sah.

“Saya tidak bersalah. Saya seorang lelaki yang baik. Saya masih presiden negara saya,” kata Maduro sebelum Hakim Alvin Hellerstein menghentikan kenyataannya.

Beliau mendakwa diculik secara tidak sah dari kediamannya di ibu negara Venezuela, dalam operasi mengejut hujung minggu lalu yang diarahkan oleh Presiden Donald Trump.

Maduro dilihat memakai selipar berwarna oren, seluar kuning air serta kemeja berlapis hitam dan oren, sambil mencatat nota ketika peguam membincangkan kes yang dijangka menjadi pertarungan undang-undang sengit.

Beliau berdepan empat pertuduhan jenayah persekutuan di AS, termasuk konspirasi narko-keganasan, mengimport kokain serta pemilikan senjata api automatik dan peranti pemusnah.

Setiap pertuduhan itu membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup.

Sementara itu, isteri Maduro, Cilia Flores, turut mengaku tidak bersalah dalam pertuduhan yang sama, kecuali konspirasi narko-keganasan.

Pendakwa raya menuduh Maduro dalang kartel pegawai Venezuela yang bekerjasama dengan kumpulan pemberontak FARC Colombia serta kartel dadah Mexico untuk menyeludup ribuan tan kokain ke AS selama beberapa dekad.

Dalam perbicaraan kira-kira 30 minit, peguambela Maduro, Barry Pollack berkata, pihak pembelaan akan memfailkan usul mencabar kesahihan penangkapan itu, menyifatkannya sebagai penculikan tentera.

Pihak pembelaan turut berhujah Maduro mempunyai imuniti sebagai ketua negara yang berdaulat dan tidak sepatutnya dibicarakan di mahkamah asing.

Hakim mengarahkan kedua-duanya kekal di dalam tahanan dan menetapkan tarikh perbicaraan baharu pada 17 Mac.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN