Kes remaja 'jenazah': Pemuda Amanah bantu bayar denda RM4,000, beli ubat - Utusan Malaysia

Kes remaja ‘jenazah’: Pemuda Amanah bantu bayar denda RM4,000, beli ubat

KERATAN laporan Utusan Online.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) akan membayar denda RM4,000 yang dikenakan Mahkamah Majistret Selayang ke atas seorang remaja lelaki yang videonya tular gara-gara dimandikan seperti `jenazah’ oleh pengurusan sebuah masjid.

Ketuanya, Hasbie Muda berkata, pihaknya juga akan membelikan ubat kepada datuk remaja itu yang sakit dan memerlukan perbelanjaan.

Katanya, tindakan itu bagi membantu keluarga lelaki berkenaan sekali gus memberi peluang kedua kepadanya untuk meneruskan kehidupan.

“Pemuda Amanah akan membantu keluarga remaja tersebut untuk bayar semua denda RM4,000 yang dikenakan serta belikan ubat kepada datuknya.

“Remaja 19 tahun ini juga perlu peluang kedua. Kita perlu membantu,” katanya menerusi hantaran Facebook beliau malam tadi.

Hasbie menyifatkan tindakan ‘mandi jenazah’ yang dilakukan terhadap lelaki berusia 19 tahun berkenaan dan menyebarkan video itu sebagai keterlaluan.

“Tindakan ‘mandi jenazah’ dan sebar video kepada umum adalah amat keterlaluan. Maruah dan aib dia perlu dijaga.

“Apa hak AJK (ahli jawatan kuasa) masjid perlakukan seperti itu? Hukuman penjara 10 hari sebenarnya lebih dari memadai,” katanya.

HASBIE MUDA

Isnin lalu, tular sebuah video dalam laman sosial yang memaparkan seorang remaja yang lengkap berpakaian dimandikan seperti `jenazah’ selepas ditangkap kerana mencuri tabung di sebuah masjid.

Remaja berkenaan turut dilumur dengan kapur barus oleh sekumpulan pengurusan masjid sambil diawasi oleh beberapa penduduk kampung berkenaan.

Sebilangan warganet menyokong tindakan pengurusan masjid dan penduduk kampung sebagai pengajaran kepada remaja terbabit.

Namun demikian, sebilangan lagi mengecam perbuatan itu kerana mendakwa pihak masjid dan penduduk kampung mengambil tindakan sendiri dengan membelakangi undang-undang.

Semalam, Mahkamah Majistret Selayang menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan didenda RM4,000 kerana cuba mencuri tabung masjid berkenaan.

Hukuman itu dijatuhkan terhadap Daniel Iskandar, 19, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Dalam prosiding itu, tertuduh diwakili peguam Azman Abdullah yang bertindak secara suka rela (pro bono) memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan.

Peguam itu menyertakan alasan bahawa pengakuan bersalahnya menjimatkan masa mahkamah selain tertuduh terdesak menggunakan wang ketika kejadian kerana datuknya yang sedang sakit memerlukan perbelanjaan.

“Tertuduh merupakan anak sulung dan ibu bapanya telah bercerai sejak berusia lapan tahun (darjah dua). Dia tinggal dengan datuknya berusia 70-an dan mereka bukan orang senang. Makan dan minum juga daripada sedekah jiran-jiran,” kata peguam itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya