MELAKA: Rutin mengaji al-Quran dalam kereta setiap pagi ketika perjalanan ke sekolah menjadi rahsia kejayaan Muhammad Ahsan Mohd. Masnawi, 11, apabila dinobatkan sebagai Johan Tilawah al-Quran Lelaki Sekolah Rendah sempena Mahrajan al-Quran Sekolah-sekolah (MQSS) Peringkat Kebangsaan 2025.
Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kelebang, Perak itu berkata, sesi kelas bergerak bersama ayahnya yang juga seorang ustaz menjadi pengalaman paling berharga dalam hidupnya.
Muhammad Ahsan berkata, dia mula mendalami ilmu taranum sejak berusia lapan tahun dan turut belajar dengan beberapa qari, selain ayahnya.
“Setiap pagi dalam kereta, saya akan baca al-Quran dan ayah akan betulkan tajwid dan taranum saya. Kadang-kadang kami dengar rakaman bacaan qari terkenal di Perak.
“Latihan dalam kereta itu mula-mula agak mencabar sebab masa singkat, tapi bila dibuat setiap hari, saya rasa lebih yakin dan lancar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup MQSS di Politeknik Merlimau di sini, semalam.
MQSS Peringkat Kebangsaan menghimpunkan murid dari seluruh negara yang bersaing dalam kategori tilawah dan hafazan peringkat sekolah rendah dan menengah, kategori lelaki dan perempuan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, penganjuran MQSS turut menjadi platform memupuk kecintaan terhadap kalamullah sejak kecil.
“MQSS ini adalah satu bentuk dakwah Kementerian Pendidikan (KPM) dalam melahirkan pelajar berakhlak mulia dan berketerampilan melalui penghayatan al-Quran,” katanya. – UTUSAN










