TEL AVIV: Menteri Tenaga Israel, Eli Cohen mengeluarkan kenyataan kontroversi dengan menyatakan Semenanjung Gaza sepatutnya dibiarkan dalam keadaan musnah dan tidak dibangunkan semula selama beberapa dekad, lapor agensi Anadolu pada Sabtu.
Dalam satu temu bual bersama saluran televisyen Israel, Channel 14, Cohen menegaskan Israel tidak mempunyai sebarang rancangan atau niat untuk membantu dalam pembinaan semula infrastruktur Gaza yang telah hancur akibat serangan berterusan.
“Gaza sepatutnya kekal musnah selama beberapa dekad tanpa sebarang proses pemulihan,” katanya.
Cohen turut menjelaskan dua objektif utama tentera Israel dalam operasi ketenteraan di Gaza iaitu yang pertama, katanya, untuk memastikan semua tebusan Israel dapat dikembalikan, dan kedua, untuk memaksa Hamas menyerah kalah.
Dalam perkembangan berasingan, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sebelum ini mengumumkan Israel menerima syarat bagi satu gencatan senjata selama 60 hari di Gaza, dengan cadangan itu disampaikan kepada Hamas melalui perantara dari Qatar dan Mesir.
Hamas dilaporkan memberi maklum balas positif terhadap cadangan tersebut dan menyatakan kesediaan untuk berunding mengenai pelaksanaan gencatan senjata dan pertukaran tebusan.
Walaupun Israel mendakwa beberapa pindaan yang dibuat oleh Hamas terhadap cadangan Qatar itu tidak boleh diterima, delegasi Israel tetap ke Doha untuk meneruskan rundingan.
Perbincangan di Doha kini tertumpu kepada cadangan gencatan senjata sementara selama 60 hari, pembebasan 10 tebusan yang masih hidup dan 18 lagi yang telah mati, serta perbincangan lanjut mengenai gencatan senjata secara kekal.
Namun, satu isu utama yang masih belum diselesaikan ialah pendirian Israel yang enggan menarik keluar tenteranya dari kawasan sempadan Gaza dan tetap mahu mengekalkan kehadiran ketenteraan di kawasan Rafah.










