GEORGETOWN: Polis masih menunggu laporan patologi sampel air kencing Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pasir Bedamar, Terence Naidu, 54, bagi mengesahkan sama ada ADUN berkenaan positif atau negatif dadah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, keputusan patologi itu dijangka diperoleh dalam tempoh satu hingga tiga bulan.

“Polis masih menunggu laporan patologi sampel air kencing ADUN berkenaan dan hanya selepas itu kita dapat tahu sama ada ia negatif atau positif.
“Kami juga sedang melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai dakwaan ujian kedua air kencing yang dilakukan Terence di sebuah klinik swasta di Pulau Pinang didapati negatif dadah.
Peguam Terence, Ramkarpal Singh dalam satu kenyataan hari ini dilaporkan berkata, ujian itu dilakukan pada 15 Januari lalu iaitu sehari selepas beliau dibebaskan dengan jaminan polis.
Dalam pada itu Mustafa Kamal Gani berkata, tindakan Terence membuat ujian kedua air kencingnya selepas ujian pertama didapati positif dadah ketika ditahan di sebuah pusat hiburan di Perai, dekat sini 13 Januari lalu adalah haknya.
“Biarpun ujian kedua air kencing yang dibuat itu negatif, namun pihaknya tidak boleh menggunakan keputusan tersebut.
“Dia (Terence) telah membuat ujian kedua air kencingnya di sebuah klinik swasta dan ia negatif, itu adalah haknya,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya juga masih menunggu laporan patologi 35 lagi individu termasuk dua anggota polis yang turut positif ketika ditahan dalam serbuan pukul 9 malam tersebut.