Diplomat keluar dewan, boikot ucapan Netanyahu di PBB

Diplomat keluar dewan, boikot ucapan Netanyahu di PBB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

]NEW YORK: Puluhan pegawai dan diplomat bertindak keluar dewan ketika Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu naik ke pentas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), meninggalkan sebahagian besar dewan kosong dalam satu protes terbuka terhadap perang Israel di Gaza.

Menurut kiraan akhbar Washington Post, lebih 100 diplomat dari sekitar 50 negara berjalan keluar beramai-ramai ketika Netanyahu memasuki dewan.

Penasihat Media kepada Ketua Biro Politik Hamas, Taher al-Nunu menegaskan tindakan diplomat memboikot ucapan Netanyahu adalah satu manifestasi pengasingan Israel dan kesan daripada kekejaman yang dilakukan rejim itu.

“Netanyahu tidak meninggalkan apa-apa selain kumpulan penyokong yang dibawa masuk ke dewan hanya untuk bertepuk tangan menyokong genosid,” kata seorang lagi pemimpin Hamas, Izzat al-Rishq.

Dalam ucapan penuh konfrontasi itu, Netanyahu mengecam pengiktirafan negara Palestin oleh beberapa negara Barat sementara di luar dewan, ratusan penunjuk perasaan berkumpul di Times Square membantah perang Israel di Gaza.

Israel kini berdepan tekanan antarabangsa yang hebat berhubung tindakan ketenteraan di Gaza, dengan Britain, Perancis, Kanada, Australia dan beberapa negara lain mengiktiraf negara Palestin minggu ini.

Netanyahu sekali lagi menegaskan Israel tidak akan membenarkan kewujudan negara Palestin, satu pendirian yang didakwanya mendapat sokongan majoriti rakyat Israel.

Beliau turut menolak dapatan suruhanjaya siasatan PBB yang menyimpulkan Israel melakukan genosid di Gaza, menyifatkan tuduhan itu tidak berasas.

Beliau malah menafikan laporan pelbagai agensi PBB Israel sengaja menyekat jumlah bantuan yang masuk ke Gaza. Ogos lalu, sebuah badan yang disokong PBB mengesahkan berlakunya kebuluran di Gaza City.

Menjelang ucapannya, pejabat perdana menteri Israel mengarahkan tentera memasang pembesar suara di atas trak di sepanjang pagar sempadan Gaza untuk menyiarkan ucapan beliau secara langsung.

Netanyahu turut mendakwa risikan Israel menggodam telefon pintar penduduk Gaza bagi menyalurkan siaran ucapannya secara terus namun sumber BBC di Gaza berkata telefon mereka tidak terjejas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×