Kerana cinta, suri rumah sanggup jadi keldai akaun

Kerana cinta, suri rumah sanggup jadi keldai akaun

ABDUL Majid Mohd. Ali menunjukkan wajak suspek warga Afrika yang ditahan di Puchong, Selangor. - FOTO/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Demi menagih cinta kekasih gelap, seorang suri rumah bukan sahaja sanggup berselingkuh tetapi turut bersekongkol dengan teman lelakinya warga Afrika melakukan jenayah penipuan kiriman bungkusan.

Penglibatan wanita berusia 50-an tersebut terbongkar selepas polis mengesan nombor akaun bank miliknya yang digunakan sekumpulan enam suspek Afrika dalam kegiatan jenayah berkenaan. 

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, kumpulan itu dikesan selepas polis menerima satu laporan membabitkan seorang pengadu lelaki mendakwa, ditipu suspek dengan nilai kerugian RM117,759 pada 6 Disember lalu. 

Katanya, mangsa yang masih bujang telah berkenalan dengan suspek pada 20 November lalu dan kononnya lelaki itu telah mengirim bungkusan dan wang tunai dalam AS$ bernilai RM331,049. 

“Pengadu bagaimanapun diminta membuat bayaran caj pelepasan barangan oleh pihak kastam dan mangsa melakukan beberapa transaksi ke dalam akaun bank yang diberikan dengan jumlah keseluruhan RM117,759.

“Setelah membuat pembayaran, bungkusan itu bagaimanapun tidak diterima dan mangsa telah membuat laporan polis,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini hari ini. 

Katanya, hasil risikan, pihaknya berjaya mengesan pemilik akaun bank terbabit dan dua siri serbuan dibuat pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka di Puchong, Selangor. 

“Kita dapati pemilik akaun berkenaan merupakan seorang suri rumah yang menetap di negeri ini dan mengakui telah menjalinkan hubungan cinta dengan suspek secara dalam talian. Hasil maklumat itu, dua siri serbuan kemudian dilakukan dan suspek iaitu tiga lelaki serta tiga perempuan warga Afrika berusia antara 35 hingga 52 tahun berjaya diberkas,” katanya. 

Tambahnya, turut dirampas adalah empat buah komputer riba, enam buah telefon bimbit, satu bungkusan kiriman barang dan sehelai baju T dan seluar pendek. 

Ujarnya, hasil soal siasat, suspek dipercayai telah menjalankan kegiatan penipuan kiriman barang sejak dua tahun lalu dengan modus operandi menjerat mangsa menggunakan cinta palsu. 

Abdul Majid berkata, pihaknya sedang mengumpulkan bukti lanjut bagi penahanan suri rumah terbabit dan enam suspek yang ditahan kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.