Kerajaan jamin ramalan awal banjir lebih tepat - PM - Utusan Malaysia

Kerajaan jamin ramalan awal banjir lebih tepat – PM

KEADAAN banjir akibat limpahan air dari Sungai Damansara mengakibatkan jalan di Batu Tiga, Lebuhraya Persekutuan tenggelam dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan ramalan awal banjir yang lebih tepat akan dikeluarkan pada masa akan datang.

Katanya, ramalan itu akan diperkasakan menerusi Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB).

“Saya telah mengarahkan agensi yang bertanggungjawab supaya mempercepatkan pembangunan Fasa Ke-2 yang diuruskan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meliputi 38 lembangan sungai utama seluruh negara bagi membolehkan ramalan awal banjir yang lebih tepat dikeluarkan,” katanya dalam mesyuarat khas penggal keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.

Dari segi hebahan kepada orang awam, Ismail Sabri berkata, kaedah-kaedah terbaik dan terpantas untuk mengeluarkan amaran awal dan arahan bersedia khususnya kepada penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir perlu ditambah baik.

“Misalnya, menggunakan aplikasi WhatsApp, push notification melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi.

“Penghasilan visual simulasi banjir, infografik dan sebagainya juga perlu diberi perhatian yang boleh disebarluaskan melalui media massa dan media sosial,” katanya.

Selain itu, bagi penyediaan makanan kepada mangsa banjir, Ismail Sabri berkata, penggunaan teknologi retort ataupun makanan sedia dimakan untuk diedarkan kepada mangsa banjir kerana kaedah pembungkusan tersebut lebih tahan lama dan kalis air.

Namun katanya, pengerusi dan agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana di setiap peringkat perlu mahir dan memainkan peranan masing-masing selaras dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20.

“Sudah tiba masanya kita juga memperkasa peranan dan sumbangan organisasi masyarakat sivil (CSO) dalam pengurusan bencana serta mengalu-alukan penglibatan mereka.

“Penglibatan CSO secara terselaras dapat melancarkan lagi proses penyampaian bantuan kepada mereka yang terjejas. Selain itu, pemerkasaan komuniti perlu dipertingkatkan lagi bagi mewujudkan masyarakat yang berdaya tahan terhadap bencana.

“Peranan setiap ahli komuniti sebagai first responder apabila berlaku sebarang bencana perlu diterapkan dan bukan hanya bergantung kepada agensi penyelamat semata-mata,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN