PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan digesa menaikkan kadar bayaran Rancangan Makanan Tambahan (RMT) daripada RM2.50 kepada RM4.
Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) berkata, hal itu selepas mengambil maklum akan keluhan pengusaha kantin sekolah yang berdepan kerumitan setelah tetapan harga pembekalan RMT ditetapkan kerajaan amat rendah, pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dan kenaikan harga bahan mentah.
“Jawatankuasa ini juga menggesa kerajaan supaya melaksanakan program Sarapan Pagi Percuma dengan penerima RMT perlu diperluaskan dengan bukan hanya terhad kepada golongan berpendapatan rendah (B40) sahaja, tetapi juga kepada pelajar M40 yang memerlukan.
“Selain itu, kami menggesa kerajaan memberikan geran khas kepada pengusaha kantin sekolah dan bantuan khusus pekerja kantin di seluruh negara.
“Pihak kementerian juga mesti segera melakukan sesi libat urus dan berbincang dengan Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah dan mendengar tuntutan mereka demi mendapatkan penyelesaian tuntas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anggota jawatankuasa itu diwakili oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam merangkap Pengerusi, Dr. Maszlee Malik; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Tampin, Datuk Dr. Hasan Bahrom; Ahli Parlimen Kulai, Teoh Nie Ching; Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong; Ahli Parlimen Tangga Batu, Rusnah Aluai dan Ahli Parlimen Batu Gajah, Sivakumar Varatharaju Naidu.
Mengulas lanjut, kata kenyataan itu, meskipun kerajaan telah mengeluarkan arahan penangguhan kutipan sewaan kantin di sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan melalui surat edaran terkini bertarikh 5 Januari 2022, namun, ia adalah sebahagian kecil usaha bagi meringankan beban pengusaha kantin.
“Tindakan tuntas perlu diambil kementerian bagi memastikan nasib pengusaha kantin terus terbela dan mampu meneruskan kelangsungan mereka dalam industri ini,” katanya. – UTUSAN










