KOTA KINABALU: Kerajaan akan membina sebuah kem tentera mempunyai kekuatan satu batalion infantri dan unit-unit 13 Briged di Felda Sahabat Lahad Datu Sabah yang dianggarkan bernilai RM646.15 juta
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kem tentera tersebut dibina bagi meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan tentera darat dalam menangani ancaman semasa sekali gus mengukuhkan lagi tahap keselamatan di pantai timur negeri berkenaan.
Langkah tersebut kata beliu juga sejajar dengan usaha merancak dan memperkasa semula inisiatif Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) antara Malaysia, Indonesia dan Filipina bagi meningkatkan kawalan keselamatan di Laut Sulu dan Sulawesi.
“Susulan itu, satu pertemuan di peringkat Kementerian Pertahanan ketiga-tiga negara akan diadakan pada 27 Januari ini bagi membincangkan dengan lebih lanjut mengenai kerjasama berkenaan, ” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2), Kem Kukusan di Tawau hari ini.
Beliau menjelaskan, hasrat meningkatkan tahap keselamatan di Laut Sulu dan Sulawesi ini turut disuarakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam pertemuan semalam.
Beliau berkata, pada masa ini, terdapat lapan batalion menjaga keselamatan pantai timur Sabah ketika ini dan empat batalion sedang beroperasi dan empat lagi berpangkalan serta siap sedia untuk tangani sebarang kemungkinan.
Mengulas lanjut katanya, sepanjang tahun lalu, operasi keselamatan melalui Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berjalan lancar dan berkeupayaan dalam menangani ancaman-ancaman yang menjadi perhatian ESSCOM.
Ia termasuklah penculikan untuk wang tebusan, rompakan laut, penyeludupan, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta militan dan pengganas.
“Saya juga ingin laporkan kepada umum bahawa tiada rekod penculikan baharu direkodkan di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) sepanjang tahun lepas.
“Berdasarkan beberapa siri kejayaan sebelum ini, pihak ESSCOM maklumkan bahawa secara relatifnya, ESSZone adalah selamat dan terkawal. Namun begitu, itu tidak bermakna ESSCOM akan mengendurkan operasinya,” katanya.
Jelas beliau, kawalan keselamatan di Sabah akan terus diperkukuhkan dengan penggunaan aset-aset sedia ada termasuk peralatan berteknologi terkini seperti dron. -UTUSAN ONLINE










