KUALA LUMPUR: Apit kanan skuad sepak takraw negara, Muhammad Hafizul Hayazi Adnan tekad menghadiahkan kejuaraan acara berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 buat penyokong tanah air pada penampilan pertamanya di pentas antarabangsa itu.
Hafizul yang mesra disapa John itu mengakui peluang beraksi di laman sendiri hadir bersama tekanan tersendiri, namun beliau mahu menjadikannya sebagai pembakar semangat untuk tampil lebih cemerlang.
“Saya harap sangat tahun ni dapat untuk membuktikan dekat peminat-peminat sepak takraw Malaysia yang kami boleh untuk mendapatkan pingat emas untuk acara berpasukan.
“Kalau main di tempat lawan, kita rasa lebih bebas sebab bermain di negara orang. Tapi bila beraksi di tanah air sendiri, memang ada rasa gemuruh sebab ramai penyokong yang mengharapkan kemenangan.
“Tapi saya harap dapat berikan yang terbaik untuk Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas aksi menentang India semalam.
John berkata, dia juga hadir dengan misi peribadi untuk membalas kepercayaan barisan kejurulatihan yang memberi ruang buatnya untuk beraksi di saingan berprestij ini.
Katanya, peluang diturunkan dalam aksi kali ini menjadi ruang terbaik untuk membuktikan kemampuannya di pentas dunia.
“Saya mahu bermain untuk negara dan balas semula kepercayaan jurulatih. jadi saya mahu buktikan saya mampu beraksi baik di Piala Dunia,” ujarnya.
Menyentuh kemungkinan bertemu Thailand di pentas final, Hafizul enggan terlalu memandang jauh, sebaliknya mahu skuad negara memberi tumpuan penuh dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
“Belum fikir lagi soal final. Kami fokus satu demi satu dan habiskan saingan kumpulan dulu,” katanya. – UTUSAN










