Gabungan gerakan Mahasiswa UTM desak ubah peraturan lapuk, tindakan saman tak munasabah - Utusan Malaysia

Gabungan gerakan Mahasiswa UTM desak ubah peraturan lapuk, tindakan saman tak munasabah

YANG di-Pertua MPP UTM, Irfan Firdaus menyerahkan Memorandum Bantahan Saman dan Polisi Menindas Mahasiswa UTM kepada pentadbiran universiti di UTM, Skudai, Johor Bahru hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Gabungan gerakan mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membantah dasar pentadbiran universiti itu yang didakwa menindas kelangsungan hidup penuntut melalui tindakan saman tidak munasabah dan penguatkuasaan peraturan lapuk.

Jurucakap Liga Mahasiswa UTM, Adam Raiyan berkata, pihaknya membuat bantahan itu susulan lambakan aduan daripada mahasiswa mengenai tindakan pengurusan yang menjadikan kompaun kesalahan sebagai medium mengaut keuntungan.

Menurutnya, tindakan meletakkan petunjuk prestasi utama (KPI) wajib bagi setiap pegawai keselamatan untuk mengeluarkan saman adalah langkah yang tersasar daripada matlamat asal.

“Saman sepatutnya menjadi langkah didikan, bukannya alat memeras poket pelajar yang sedia terbeban dengan kos sara hidup yang semakin mencabar ketika ini.

“Bebanan kewangan ini sengaja diburukkan lagi dengan penolakan pihak universiti terhadap pelaksanaan Polisi Kadar Rata (Flat Rate Policy) bagi pembayaran kompaun, selain mengekalkan sistem denda terkumpul yang tidak mempedulikan realiti ekonomi pelajar,” katanya selepas mengadakan perhimpunan aman dan penyerahan Memorandum Bantahan Saman dan Polisi Menindas Mahasiswa kepada pentadbiran universiti, di sini hari ini.

Gabungan itu melibatkan Liga Mahasiswa UTM, Revolusi Penggerak Mahasiswa UTM, Evolusi Mahasiswa UTM, Reformasi Mahasiswa UTM, dan Kelab Mahasiswa UMNO UTM.

Tambahnya, gabungan itu turut kesal dengan pewartaan kawasan Lingkaran Ilmu sebagai zon larangan meletak kenderaan yang disifatkan sebagai ‘perangkap bersistem’ untuk mengeluarkan saman kepada pelajar yang menghadiri kuliah.

“Kita juga kritik pelaksanaan perintah berkurung pada waktu malam kerana menyukarkan golongan mahasiswa dewasa yang perlu bekerja separuh masa bagi menampung kos pengajian.

“Mahasiswa adalah individu dewasa dan matang yang sah di sisi undang-undang untuk mengundi, bekerja, dan berkahwin. Kehidupan kampus sepatutnya melatih sifat berdikari, bukannya mengongkong pergerakan seperti kanak-kanak,” katanya.

Pada masa sama, pihaknya juga menuntut pengurusan UTM iaitu membatalkan serta-merta penetapan KPI dalam tindakan pemberian saman kepada mahasiswa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN