ANKARA: Turkiye menahan 175 suspek dalam operasi membanteras rangkaian penipuan antarabangsa yang didakwa mempunyai kaitan dengan individu dari Israel.
Menteri Kehakiman, Akin Gürlek berkata, syarikat dalam rangkaian berkenaan sebahagian besarnya dimiliki atau dikawal oleh individu yang mempunyai hubungan dengan Israel.
Beliau berkata, perkara itu terbongkar hasil empat siasatan yang dilancarkan tahun ini oleh Pejabat Pendakwa Raya Istanbul.
Siasatan itu memberi tumpuan kepada syarikat yang mengendalikan pusat panggilan dan didakwa memperdaya warga asing menerusi media sosial serta iklan dalam talian.
Mangsa ditawarkan pulangan tinggi bagi pelaburan dalam pasaran pertukaran mata wang asing (forex) dan mata wang kripto.
Gürlek berkata, siasatan mendapati rangkaian itu menjalankan kegiatan terancang yang menyasarkan mangsa di beberapa negara.
Menurut Gürlek, wakil khidmat pelanggan yang boleh berkomunikasi dalam beberapa bahasa menarik mangsa ke dalam sistem berkenaan sebelum mengarahkan mereka ke platform pelaburan yang dikawal suspek.
Penyiasat mendapati platform berkenaan didakwa memaparkan keuntungan palsu bagi meyakinkan mangsa memasukkan lebih banyak wang.
Apabila mangsa cuba mengeluarkan wang mereka, mereka diminta membayar sejumlah wang tambahan atas pelbagai alasan, termasuk sekatan akaun dan cukai.
Gürlek berkata, wang berkenaan kemudian dipindahkan ke akaun bank serta dompet mata wang kripto di luar negara.
Siasatan itu diselaraskan Biro Siasatan Jenayah Pembiayaan Keganasan dan Pengubahan Wang Haram, Pejabat Pendakwa Raya Istanbul, dengan kerjasama Pertubuhan Perisikan Kebangsaan Türkiye (MIT), Jabatan Jenayah Terancang dan unit jenayah siber polis Istanbul.- AGENSI











