Kelemahan kendali banjir, saya terpaksa campur tangan - Ismail Sabri - Utusan Malaysia

Kelemahan kendali banjir, saya terpaksa campur tangan – Ismail Sabri

ISMAIL Sabri Yaakob meredah banjir ketika melawat mangsa-mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Telok Gong. - FOTO/JABATAN PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui beliau terpaksa masuk campur terhadap pengurusan bencana di Selangor selepas negeri itu dilanda banjir pada 18 Disember lalu.

“Perlu saya tekankan di sini bahawa banjir di Selangor merupakan suatu kejadian yang luar jangka dan berikutan kelemahan yang telah dikenal pasti di peringkat negeri dan daerah, menyebabkan saya terpaksa campur tangan.

“Umum mengetahui pada tempoh yang sama, terdapat beberapa negeri lain yang turut dilanda banjir malah ada negeri yang dilanda banjir pada skala yang lebih buruk seperti negeri Pahang.

“Namun, disebabkan jentera pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah adalah teratur dan bersedia, bencana ini dapat dikendalikan dengan baik walaupun terdapat beberapa cabaran,” katanya dalam mesyuarat khas penggal keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya, arahan Majlis Keselamatan Negara No. 20 berkaitan dasar dan mekanisme pengurusan bencana negara dengan jelas menggariskan peranan dan tanggungjawab setiap Jawatankuasa Pengurusan Bencana di setiap peringkat.

“Dari segi perintah dan kawalan, Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dikendalikan oleh Ketua Polis Daerah dan Pegawai Bomba Daerah masing-masing bertindak sebagai Komander dan Timbalan Komander Operasi Bencana manakala Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) perlu dibuka oleh urus setia Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat yang berkaitan.

“Pengerusi Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) bersama-sama dengan Komander Operasi bencana bertanggungjawab membuat penilaian mengenai bencana yang berlaku dan keupayaan agensi-agensi di peringkat daerah dalam mengendalikan bencana tersebut.

“Setelah penilaian dibuat dan tindakan awalan diambil tetapi didapati bahawa kejadian bencana tersebut tidak dapat ditangani di peringkat daerah, JPBD hendaklah memaklumkan kepada JPBN dan seterusnya JPB Pusat untuk mendapatkan bantuan segera,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN